SETELAH sekian lama tidak begitu kedengaran perihal pentingnya bahasa dan sastera dalam kehidupan, semalam perkara itu diperkatakan oleh Perdana Menteri.
Ketika mengumumkan peruntukan RM50 juta melalui Belanjawan 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) berkata, pemerkasaan bahasa dan sastera yang merangkumi aktiviti seni dan budaya itu penting bagi membina keperibadian generasi baharu.
Alhamdulillah, langkah ini tepat dan bermanfaat.
Sesebuah negara dan sesuatu bangsa tidak akan menjadi besar jika aspek itu terabai kerana pembangunan akan berlaku dalam bentuk yang tempang, herot, dan sumbang.
Lihat sahajalah keadaan sekarang – tatkala bahasa dan sastera seakan-akan tersisih, kita dapati adab dan akhlak sebahagian anggota masyarakat kita amat mengecewakan.
Sungguhpun kononnya kegiatan keagamaan disemarakkan, penyemarakannya tidak dilakukan dalam landasan ‘bahasa dan sastera’ serta ‘seni dan budaya’ yang betul.
Agama seolah-olah ditunggang kerana sebahagian penganjuran kegiatan itu tidak mengikut garis ‘bahasa dan sastera’ serta nilai ‘seni dan budaya’ yang sepatutnya.
Akibatnya, masyarakat menjadi berpecah belah.
Kata sepakat sukar dicapai dalam banyak keadaan dan itu sangat ketara dalam dekad yang mutakhir ini.
Dalam sesuatu kemelut dan pertikaian, yang lebih banyak dizahirkan selalunya caci maki, bukannya naratif yang menguntungkan negara.
Kalau kita jadikan persidangan Parlimen sebagai tanda aras perkara itu, dapat kita lihat kebejatannya dan itu melambangkan bertapa teruknya kerosakan melanda negara kita.
Lebih malang pula apabila dalam sesuatu perkongsian ilmu, hal yang seumpama itu juga berlaku – sebahagian aktivis agama lebih gemar menyebarkan kebencian.
Oleh sebab itu, RM50 juta yang diumumkan akan diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu diharapkan menjadi pemula kepada pembetulan keadaan ini.
Mungkin terlalu awal untuk kita menaruh harapan tinggi tetapi sekurang-kurang langkah awal telah diambil.
Syabas, Malaysia Madani!




