MINDA TOK ABAH: Ketika kebenaran dibingkai

DALAM dunia yang semakin bising ini, kita sering menyangka kita sedang mendapatkan lebih banyak maklumat. Hakikatnya, kita sedang kehilangan sesuatu yang jauh lebih penting, iaitu keupayaan untuk memahami.

Ya, media sosial menjanjikan keterbukaan. Semua orang boleh bersuara, semua maklumat boleh diakses. Namun dalam kebebasan yang tidak terkawal, lahirlah satu bentuk krisis yang jarang dibicarakan secara jujur — krisis kognitif. Ia tidak meletus seperti krisis ekonomi, tidak kelihatan seperti konflik bersenjata, tetapi kesannya perlahan-lahan menghakis asas kewarasan sebuah masyarakat.

Kita tidak lagi melihat dunia sebagaimana adanya. Kita melihat dunia sebagaimana ia ditunjukkan kepada kita secara berulang kali, sehingga kita percaya ia benar.

Dalam kerangka Komunikasi Politik, fenomena ini dikenali sebagai pembingkaian atau ‘framing’. Kebenaran tidak perlu dipadam. Ia hanya perlu dibingkai semula. Apa yang ditonjolkan akan diperbesar, dan apa yang penting boleh disenyapkan tanpa disedari.

Lebih membimbangkan, masyarakat hari ini semakin terbiasa mengambil jalan pintas dalam berfikir. Tajuk menjadi rujukan, bukan isi. Video pendek menjadi hujah, bukan analisis. Reaksi mendahului refleksi.

Dalam kerangka psikologi, ini berkait dengan kecenderungan manusia untuk mempercayai apa yang selari dengan kepercayaan sedia ada. Satu bentuk ‘Cognitive Bias’ yang kini dieksploitasi secara sistematik.

Apabila manusia berhenti berfikir secara holistik, sesuatu yang lebih besar turut terkorban, termasuk kreativiti, keupayaan menilai, dan akhirnya kewarasan kolektif. Minda tidak lagi dilatih untuk menyelidik, sebaliknya menjadi pasif, menanti ‘suapan’ daripada garis masa digital.

Lebih berbahaya ialah bagaimana disinformasi beroperasi melalui minda bawah sedar. Ia tidak berdebat dengan akal, tetapi menyelinap melalui emosi. Melalui pengulangan naratif, apa yang tidak pasti boleh kelihatan benar, dan apa yang benar boleh diragukan.

Dalam era ‘Artificial Intelligence’, ancaman ini menjadi lebih kompleks. Teknologi bukan sahaja mempercepatkan penyebaran maklumat, tetapi juga memungkinkan manipulasi berskala besar, sehingga garis antara fakta dan persepsi menjadi semakin kabur.

Dalam keadaan dunia yang sedang berdepan konflik, termasuk ketegangan antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel, kita sering melihat bagaimana perang bukan lagi sekadar pertempuran fizikal. Ia juga melibatkan pertempuran naratif, persepsi dan emosi rakyat. Ini sepatutnya menjadi satu amaran kepada kita tentang bagaimana sesebuah negara boleh menjadi rapuh dari dalam akibat kegagalan rakyatnya mempertahankan kawarasan berfikir.

Kita boleh tidak bersetuju dengan kerajaan. Itu hak dalam sistem demokrasi. Kita boleh mengkritik dasar, mempersoal keputusan, malah turun ke jalan. Tetapi ada satu garis yang semakin kabur dalam era digital ini, apabila ruang awam dipenuhi dengan naratif yang tidak ditapis, tidak disahkan, dan tidak lagi bertanggungjawab.

Di sinilah disinformasi bertindak sebagai bentuk ‘pencerobohan moden’.

Ia tidak datang dengan tentera. Ia tidak membawa senjata. Tetapi ia mampu melemahkan kepercayaan, memecahbelahkan masyarakat, dan mengalih perhatian daripada isu sebenar. Dalam kekeliruan ini, rakyat bukan sahaja gagal membuat keputusan yang tepat malah boleh terdorong untuk bertindak berasaskan persepsi yang salah.

Sejarah dunia telah menunjukkan bagaimana sesebuah negara boleh runtuh apabila asas kepercayaan rakyatnya terhadap institusi terhakis. Bezanya hari ini, keruntuhan itu tidak semestinya bermula dengan campur tangan fizikal dari luar. Ia boleh bermula dengan naratif yang disebarkan tanpa henti, sehingga rakyat sendiri menjadi ejen kepada kekeliruan.

Manusia secara asasnya mencari rasa selamat dan kepastian. Disinformasi mengeksploitasi keperluan ini dengan mencipta naratif yang mudah dipercayai, walaupun tidak tepat. Ia menawarkan jawapan segera dalam dunia yang kompleks, dan itulah yang menjadikannya berbahaya.

Sebaliknya, masyarakat yang matang menuntut disiplin berfikir, kesabaran menilai, dan keberanian untuk meragui apa yang kelihatan benar. Nilai ini pernah dihuraikan dalam ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ — tentang pentingnya bertindak berasaskan prinsip, bukan dorongan emosi semata-mata.

Persoalannya, sejauh mana nilai ini masih bertahan?

Dalam konteks pembinaan negara bangsa, cabaran terbesar kita hari ini bukan sekadar ekonomi atau politik. Ia adalah keupayaan untuk mempertahankan ketuanan ilmu dalam dunia yang memuja kepantasan maklumat.

Kita sedang membina masyarakat yang tahu banyak perkara tanpa memahami apa-apa.

Jika keadaan ini berterusan, risiko yang kita hadapi bukan sekadar kekeliruan, tetapi kehilangan arah sebagai sebuah negara. Rakyat yang gagal berfikir akan mudah dipengaruhi, mudah dipecahbelahkan, dan akhirnya gagal mempertahankan kepentingan bersama.

Tragedi sebenar sesebuah negara bukan terletak pada kekurangan sumber, tetapi pada kemiskinan minda.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Sektor swasta pemacu utama Ekonomi MADANI – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penglibatan aktif sektor swasta dan golongan usahawan amat penting dalam menjayakan Ekonomi MADANI supaya pertumbuhan ekonomi negara lebih bermakna, mampan serta dapat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kawalan akaun media sosial perlu, elak risiko dalam talian kanak-kanak – Pengamal undang-undang

CADANGAN kerajaan untuk melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun disifatkan sebagai langkah wajar dalam usaha melindungi golongan itu daripada pelbagai risiko di alam siber. Pengamal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sektor swasta pemacu utama Ekonomi MADANI – PM

Sektor swasta pemacu utama Ekonomi MADANI – PM

Kawalan akaun media sosial perlu, elak risiko dalam talian kanak-kanak – Pengamal undang-undang

Kawalan akaun media sosial perlu, elak risiko dalam talian kanak-kanak – Pengamal undang-undang

Angkut ‘si manja’ balik kampung, pemilik kongsi pengalaman dan cabaran

Angkut ‘si manja’ balik kampung, pemilik kongsi pengalaman dan cabaran

PROPUB beri pendedahan awal keusahawanan digital kepada belia Mukah

PROPUB beri pendedahan awal keusahawanan digital kepada belia Mukah

Serahan projek air RM4 bilion kepada Sabah bukti kepercayaan kepada autonomi negeri

Serahan projek air RM4 bilion kepada Sabah bukti kepercayaan kepada autonomi negeri

Pelajar hilang dipercayai lemas dekat Pantai Balok

Pelajar hilang dipercayai lemas dekat Pantai Balok