KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Datuk Hazri Hassan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan dana Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) berjumlah lebih RM130,000.
Beliau yang berusia 57 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, saya tidak mengaku bersalah,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Hazri didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Pengarah JUPEM dan Pengerusi LJT untuk memperoleh suapan berupa dana LJT berjumlah RM30,201.16 dan RM105,914 bagi dirinya dengan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Lembaga LJT.
Mesyuarat itu membincangkan penyertaannya dalam Sesi ke-14 Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global di New York, Amerika Syarikat, dari 4 hingga 9 Ogos 2024.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengambil bahagian dalam Mesyuarat Lembaga LJT yang membincangkan penyertaannya dalam “Mesyuarat LJT dan JUPEM bersama Profesor Dr Shaikh Mohamed Zaffar Sadiq Mohamed Ghouse – Naib Presiden dan Pengarah Penasihat & Inovasi Woolpert dan Mesyuarat Plenari ke-5 Kumpulan Peringkat Tinggi bagi Rangka Kerja Maklumat Geospatial Bersepadu serta Mesyuarat Biro dan Biro Diperluas bagi Jawatankuasa Pakar”.
Penyertaan itu melibatkan mesyuarat yang berlangsung di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi, dari 29 Januari hingga 4 Februari 2025.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 7, Wisma LJT, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati, pada 3 dan Ogos 2024, serta di bilik Park View 2, Mandarin Oriental Hotel di sini, pada 31 Disember 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju supaya jaminan ditetapkan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin serta syarat dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
Peguam bela, Muhammad Amin Othman, mengesahkan persetujuan itu, namun memohon agar bayaran jaminan dibenarkan secara dua peringkat, iaitu RM50,000 dibayar hari ini dan bakinya pada Jumaat, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan seperti dipersetujui selain menetapkan 4 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen.







