
SARATOK — Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan pecah rumah dalam satu operasi di Kabong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek yang berusia 26 tahun itu ditahan polis pada 21 April selepas pihaknya menjalankan risikan dan siasatan lanjut berhubung satu kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 19 Mac lepas apabila pintu belakang rumah mangsa telah dicungkil sebelum suspek memasuki kediaman itu dan mencuri sebuah mesin pemotong rumput,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan dengan membuka skru pada engsel mangga pintu belakang sebelum memasuki rumah mangsa dan mengambil barang berharga.
Hasil tangkapan tersebut juga, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah yang dilakukan sebelum ini termasuk sebuah mesin rumput, pemutar skru, pam air, kipas angin dan tong gas.
“Siasatan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya dua lagi kes pecah rumah dan curi di kawasan sama pada Mac dan April tahun ini.
“Semua barangan yang dirampas ditemui di kediaman salah seorang suspek di Kampung Perpat dan dipercayai disimpan sementara menunggu pembeli,” katanya.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini bagi membantu siasatan lanjut.





