ARSENAL mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana Inggeris apabila menundukkan Burnley 2-0 di Turf Moor, lewat malam tadi.
The Gunners membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 hasil sepakan penjuru direncanakan Declan Rice dan Gabriel Magalhaes, sebelum Viktor Gyokeres menyudahkan bola hantaran dekat untuk kedudukan 1-0.
Skuad bimbingan Mikel Arteta kemudian berada dalam kelas tersendiri pada minit ke-35 apabila serangan balas pantas disudahkan Rice dengan tandukan kencang menewaskan Martin Dubravka, sekali gus menggandakan kedudukan.
Burnley langsung tidak melakukan percubaan ke arah pintu gol Arsenal pada babak pertama dan meskipun mereka tampil sedikit agresif selepas rehat, benteng The Gunners kekal kental untuk memastikan rekod bersih ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan.
Kejayaan itu menyaksikan Arsenal kini mengumpul 25 mata selepas 10 perlawanan, tujuh mata di hadapan Bournemouth di tangga kedua yang akan beraksi awal pagi Isnin ini.







