
PADANG BESAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) mempertingkatkan kawalan di stesen minyak berhampiran sempadan negara menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bagi mengekang ketirisan bahan api bersubsidi.
Seramai tiga Pegawai Kanan Polis dan 54 Pegawai Rendah Polis daripada Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) digerakkan ke 13 stesen minyak ‘hotspot’ di sempadan Malaysia-Thailand.
Daripada jumlah itu, dua stesen terletak di Perak, enam di Kedah dan lima di Perlis yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlakunya penyelewengan bahan api bersubsidi.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan tiada ketirisan minyak diesel dan petrol di semua lokasi yang disasarkan.
“Pemantauan Ops Tiris 4.0 dilaksanakan secara syif bermula seawal jam 6.30 pagi dengan kehadiran berterusan anggota PGA di semua stesen minyak ‘hotspot’.
“Penugasan diteruskan sehingga stesen minyak tersebut ditutup bagi memastikan pemantauan dilakukan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, operasi itu juga bertujuan memastikan bahan api bersubsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) [Petrol RON95] 2026 yang berkuat kuasa pada 1 April lalu.
Selain itu, ia turut melibatkan pemantauan terhadap peraturan pembelian bahan api bersubsidi dalam bekas seperti botol dan jerikan di seluruh negara.
Tambahnya, PDRM akan terus mempertingkatkan keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan serta kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyelewengan bahan api bersubsidi,” ujarnya.






