JARINGAN lewat Luis Diaz dan Michael Olise memastikan Bayern Munich meraih kemenangan dramatik 4-3 ke atas Real Madrid, awal pagi tadi.
Keputusan itu sekali gus mengesahkan kemenangan agregat 6-4 dan menempah tiket ke separuh akhir menentang juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG), hujung bulan ini.
Kedudukan terikat ketika rehat pada aksi timbal balik selepas babak pertama yang rancak, dengan Real selaku juara Eropah 15 kali mendahului sebanyak tiga kali.
Bayern menang 2-1 pada aksi pertama di Sepanyol minggu lalu, namun Arda Guler memanfaatkan kesilapan penjaga gol veteran Manuel Neuer untuk meletakkan pelawat di depan seawal 34 saat di Allianz Arena.
Dia kemudian menambah jaringan menerusi sepakan percuma selepas Aleksandar Pavlovic menyamakan kedudukan.
Harry Kane kembali meletakkan Bayern di depan secara agregat sebelum Kylian Mbappe mengikat semula kedudukan keseluruhan apabila menjadikan kedudukan 3-2 buat Real sebelum rehat.
Eduardo Camavinga dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua berbaki empat minit permainan dan Bayern mengambil kesempatan apabila Diaz melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Ketika Real terus memburu gol penyamaan, Olise menghadiahkan jaringan menarik menerusi sepakan lencong bagi mengesahkan kemaraan Bayern ke kelompok empat terbaik serta menghidupkan impian memburu kejuaraan Eropah kali ketujuh.





