
KANGAR – Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak mengakui terdapat kelemahan dalam semakan terhadap jersi yang dipakai dalam satu program sukan di Perlis baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara itu dikenal pasti susulan dakwaan tular mengenai kewujudan logo pada jersi berkenaan.
“Saya memohon maaf kepada semua umat Islam di atas kekhilafan yang telah berlaku dan saya bertaubat kepada Allah atas perkara ini.
“Merujuk dakwaan yang tular, kehadiran saya dalam program sukan tersebut adalah atas jemputan bagi menyantuni pasukan serta menyokong aktiviti sihat dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, penyertaan dalam perlawanan bola sepak itu tidak bertujuan untuk mempromosikan mana-mana jenama.
Katanya, hasil semakan bersama pihak pengurusan pasukan mendapati jersi yang dipakai merupakan jersi siap sedia yang dibeli secara borong di pasaran terbuka di sempadan negeri.
“Jersi jenis siap sedia ini dipilih berdasarkan corak sedia ada dan pihak pasukan hanya melakukan cetakan nombor pada jersi tersebut.
“Saya akui terdapat kelemahan dalam penelitian terhadap logo pada jersi berkenaan dan mengambil tanggungjawab atas perkara tersebut,” katanya.
Tambahnya, beliau berpegang kepada prinsip agama dan tidak akan terlibat dengan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan nilai tersebut.
Terdahulu The Malaysia Press melaporkan Pemuda UMNO negeri sebelum ini mendesak pihak polis menyiasat kejadian logo perjudian dalam talian yang dipakai pasukan negeri dalam perlawanan menentang tim dari sebuah stesen radio tempatan.






