ARSENAL mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas bernasib baik mempertahankan keputusan seri tanpa jaringan menentang Sporting Lisbon sekali gus memastikan kemenangan agregat 1-0, awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Mikel Arteta jelas jauh daripada prestasi terbaik mereka pada suku akhir kedua di Stadium Emirates.
Namun mereka berjaya mempertahankan kelebihan tipis daripada aksi pertama ketika Sporting gagal mengambil kesempatan daripada satu lagi persembahan penuh tekanan terhadap lawan.
Arsenal akan menentang Atletico Madrid bagi merebut tempat ke final selepas kelab Sepanyol itu mara dengan agregat 3-2 ke atas Barcelona, awal pagi semalam.
Arsenal sebelum ini mengatasi Atletico 4-0 pada peringkat kumpulan di Emirates pada Oktober, namun mereka perlu meningkatkan prestasi dengan ketara untuk mara ke final buat kali pertama sejak 2006.
Ini kali pertama Arsenal berjaya menembusi separuh akhir Liga Juara-Juara dalam dua musim berturut-turut sepanjang sejarah kelab.
Namun selepas tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan hanya mencatat satu kemenangan, mereka kekal sebagai pasukan yang sukar diramal ketika prestasi mula merosot pada waktu tidak sesuai.





