“INI bukan api asing di hutan yang jauh. Ini adalah awan ribut yang sedang menghampiri langit kita.
“Apabila helang bersin, dunia bukan sekadar mendengar, tetapi ia perlu bersiap sedia.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya hanya bersiap sedia, tetapi kita mesti bertindak, berfikir dan menyesuaikan diri.”
Demikian antara pandangan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee, berkaitan tarif sebanyak 24 peratus yang bakal dikenakan ke atas pelbagai eksport barangan Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
Negara yang mengangkat Helang Botak sebagai haiwan kebangsaannya, AS dan Presidennya, Donald Trump, baharu sahaja mengumumkan satu tarif ‘reciprocal’ baharu yang menyasarkan pelbagai negara termasuk Malaysia.
Ujarnya, secara atas kertas, tarif itu sebagai ‘timbal balas’ apa yang Amerika anggap sebagai layanan tidak adil terhadap barangan mereka di luar negara.
Malah hakikatnya, jelas beliau, ia adalah alat politik yang digunakan untuk menghukum negara yang dianggap terlalu ‘protectionist’, terlalu berdikari, atau terlalu berjaya dalam eksport.
“Bagi sesetengah pihak, ini mungkin kedengaran seperti pertelingkahan dasar yang jauh di seberang Pasifik.
“Tetapi saya tegaskan, ini bukan api asing di hutan yang jauh. Ini adalah awan ribut yang sedang menghampiri langit kita,” katanya.
Menerusi penulisan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau, Howard berkata, ini bukan soal keadilan sebaliknya ia soal kuasa.
“Kita mesti mengenalinya sebagai apa adanya.
“Ini juga satu hentakan kuat dari kuasa besar yang cuba mengembalikan dominasinya dalam dunia yang telah berubah.
“Siapa akan terpukul paling teruk? Tak perlu kita berlapik kata kerana tarif ini akan menyakitkan.
“Apabila permintaan global menurun, yang pertama merasakan kesannya adalah pekerja kilang, pemandu logistik, buruh pelaburan yang bukan para bilionair,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP, berpendapat, secara keseluruhan, cabaran ini berpotensi memberi tekanan ekonomi kepada ekosistem tempatan, khususnya kepada tenaga kerja mahir dan industri sokongan yang bergantung kepada pengeluar berorientasikan eksport.
“Jadi apa yang perlu Malaysia lakukan ialah tidak boleh panik. Namun jangan pula kita bersikap seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Ini bukan kali pertama dunia menjadi dingin. Tetapi mungkin inilah kali pertama dalam beberapa dekad, kita berhadapan dengan situasi ‘ditelan ular, diluah naga’.
“Tersepit antara dua kuasa besar, AS dan China, dalam suatu peraturan yang bukan kita mulakan,” jelasnya.
Justeru, tambah beliau, langkah terbaik yang boleh diambil adalah berjuang dengan bijak dan bukan berterusan melenting serta bising.
Ulas beliau, perbaharui dan tingkatkan penglibatan diplomatik secara serius dengan AS.
“Selesaikan isu-isu tertunggak seperti pensijilan halal dan import kenderaan secara telus dan profesional.
“Bukan dengan gendang politik yang gegak gempita. Ingat, biduk lalu kiambang bertaut. Hubungan antarabangsa tidak harus terputus kerana kegopohan,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, Malaysia mesti meluaskan pasaran ke Timur Tengah, India, Afrika serta rakan-rakan ASEAN dan bina ketahanan ekonomi.
“Jangan biarkan hasil keluarkan Malaysia bergantung pada satu perut dan satu hati.
“Pasaran yang terlalu bergantung pada satu kuasa adalah risiko yang tidak berbaloi.
“Kembangkan ekonomi digital kita dengan cara yang menjunjung kedaulatan tetapi juga mengalu-alukan kerjasama,” tulisnya lagi.
Bahkan, Howard turut berpandangan, Malaysia harus terbuka mengalu-alukan perdagangan, tetapi bukan untuk dipermainkan.
Tegasnya, sampaikan mesej yang jelas bahawa kita mengalu-alukan perdagangan, tetapi perdagangan itu mestilah adil untuk kita juga.
“Jangan sampai kita tunduk kepada buli yang diselindungi atas nama ‘reciprocal’.
“Malaysia sentiasa bersedia, terbuka dan ikhlas untuk menyemak semula segala pengiraan tarif dan jangka perdagangan.
“Bahkan saya menyambut baik pendirian MITI yang tenang dan rasional dalam meneruskan rundingan dengan pihak AS.
“Mungkin kali ini kita punya alasan yang cukup kukuh untuk mengangkat isu ini ke meja Presiden Trump demi maruah dan kepentingan Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, pengumuman tarif oleh AS sememangnya satu cabaran besar kepada landskap ekonomi Malaysia.
Namun, dalam setiap badai, ada peluang untuk menilai diri dan menyusun langkah semula.
“Dengan mengambil tindakan proaktif melalui diplomasi yang bijaksana, perluasan pasaran dan pengukuhan daya tahan ekonomi.
“Malaysia bukan sahaja boleh meredakan impak jangka pendek, malah meletakkan asas kukuh bagi masa depan yang lebih berdaya saing dan berdikari,” kata Howard.







