PORT DICKSON – Latihan bersepadu antara agensi kini bukan lagi sesuatu yang boleh ditangguhkan, sebaliknya suatu keperluan semakin mendesak seiring dengan risiko bencana yang kian kompleks.
Selaras dengan itu, pelaksanaan Eksesais Shield Search & Rescue (SAR) 2026 menjadi manifestasi kepada usaha memperkukuh tahap koordinasi operasi kecemasan secara menyeluruh.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, latihan melibatkan 30 agensi itu bukan lagi bersifat pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
Menurut beliau, inisiatif tersebut tercetus hasil perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera pada 24 Januari lalu yang menekankan kepentingan penyelarasan lebih mantap dalam operasi SAR.
“Latihan berskala besar itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh koordinasi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi awam dalam pengurusan operasi kecemasan.
“Penganjuran latihan ini tercetus hasil perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera pada 24 Januari lalu susulan keperluan mendesak untuk mewujudkan kerjasama yang lebih mantap dalam operasi SAR.
“Sebelum ini, latihan yang dilaksanakan di Seremban hanya melibatkan pasukan darat sahaja. Kali ini kita berjaya melaksanakan kedua-duanya sekali gus dengan penglibatan 30 agensi,” katanya kepada media selepas menyaksikan Eksesais (SAR) di Pantai Batu 1, Port Dickson, pada Ahad.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, latihan seumpama itu wajar diperluaskan pada masa akan datang, termasuk memberi tumpuan kepada operasi maritim susulan kepadatan laluan di Selat Melaka.

Beliau berpandangan, pemilihan Port Dickson sebagai lokasi latihan adalah bertepatan memandangkan kedudukannya yang berhampiran laluan penerbangan utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kawasan itu terletak dalam lingkungan zon final approach landing sekitar 10 hingga 15 batu nautika dari landasan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan udara kepada kawasan berpenduduk.
“Justeru, simulasi nahas pesawat yang dilaksanakan dalam latihan ini adalah sangat relevan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan tersebut,” katanya.
Tambahnya, demonstrasi yang dipamerkan bukan sahaja menguji keupayaan agensi terlibat, malah turut menjadi tarikan kepada pelancong domestik.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesiapsiagaan, malah secara tidak langsung membantu merancakkan sektor pelancongan dan memperkukuh imej Port Dickson sebagai bandar ketenteraan darat,” katanya.





