
KANOWIT – Penduduk di kawasan Ngemah terus menggesa agar projek Jalan Batu Luking ke Teluk disegerakan berikutan masalah akses jalan yang menjejaskan aktiviti harian serta sektor ekonomi setempat, khususnya pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, kerajaan sentiasa berusaha menyalurkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) secara adil mengikut keperluan kawasan masing-masing.
“Kerajaan cuba sedaya upaya menyalurkan peruntukan RTP secara adil berdasarkan keluasan dan keperluan kawasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek RTP di Rumah Gerard Jarit, Nanga Lepan Atas pada Sabtu.

Beliau menjelaskan bahawa projek Jalan Batu Luking ke Teluk di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MIRRDA) kini dalam perhatian dan berharap ia dapat dipercepatkan ke peringkat tender untuk pelaksanaan segera.
“Saya berharap projek ini dapat disegerakan ke proses tender, namun pada masa sama penduduk diminta bersabar kerana proses pelaksanaan mengambil masa,” katanya.
Dalam pada itu, Anyi menasihati Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar sentiasa hadir dalam program rasmi kerajaan serta menjaga integriti peranan mereka di kawasan masing-masing.
Anyi menegaskan KMKK perlu mengelakkan penglibatan dalam program yang boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau memaklumkan seramai 412 pelajar menerima insentif pendidikan sebagai galakan meningkatkan prestasi akademik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada guru atas pencapaian dua sekolah menengah di DUN Ngemah dalam SPM 2026.
Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian, Laurance Mbok, Penghulu Dunstan, kaunselor-kaunselor serta wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).




