
LAWAS – Usaha membendung kebakaran tanah gambut di Sarawak terus diperkasa menerusi penganjuran Mini Karnival Peduli Api – Peat Fire Awareness Lawas 2026 oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri.
Timbalan Residen Limbang, Rozita Kulai berkata, kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri dengan komuniti amat diperlukan bagi menangani ancaman kebakaran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, statistik penurunan kes kebakaran yang direkodkan oleh JBPM di Sarawak ketika ini amat membanggakan.
“Diharapkan Zon Limbang dapat mengekalkan momentum positif ini agar tidak menyumbang kepada peningkatan kes pada tahun ini.
“Masyarakat juga diseru supaya menghentikan amalan pembakaran terbuka dan beralih kepada kaedah pengurusan tanah serta sisa pertanian yang lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan sempena penganjuran program berkenaan.
Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif JBPM itu, Awang Tengah turut mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM20,000 bagi melancarkan lagi aktiviti kebombaan di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Jamri Masran berkata, program tersebut adalah hasil kolaborasi strategik bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), selaras dengan gagasan Malaysia Madani dalam memelihara kelestarian alam.
“Matlamat utama kita adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai teknik pengurusan tanah gambut yang terbaik.
“Trend kes kebakaran menunjukkan penurunan yang amat positif iaitu berkurangan kepada 24 kes pada tahun 2025 berbanding 25 kes pada 2023. Malah, bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, hanya dua kes direkodkan di Zon Limbang,” jelasnya.
Tambahnya, JBPM kini sedang memperkukuh tahap kesiapsiagaan melalui penggunaan teknologi dron oleh JAS serta pemantauan dari ruang udara oleh Unit Udara JBPM.
Fokus pemantauan diberikan secara khusus di kawasan berisiko tinggi seperti Sri Aman, Sibu, Mukah, Bintulu, Baram, Miri, Limbang dan Lawas.
“Setiap individu memikul tanggungjawab yang besar untuk berganding bahu memastikan bumi warisan ini kekal selamat dan sejahtera demi generasi akan datang,” ujarnya.




