MALAYSIA tidak perlu risau atau tergesa-gesa membuat keputusan berhubung kesan tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan Malaysia, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau menjelaskan bahawa pengumuman tarif oleh Presiden AS, Donald Trump masih baharu dan Malaysia memerlukan masa untuk meneliti kesannya terhadap industri serta inflasi.
“Kita kena analisis isu yang ada dan kita perlu berbincang. Buat masa sekarang, pendekatan yang Malaysia ambil iaitu untuk terus berbincang dengan AS kerana kita rasa dengan cara perbincangan, kita boleh cari penyelesaian yang lebih baik.
“Insya-Allah dengan mesyuarat-mesyuarat yang ada dalam ASEAN ini, kita akan cari jalan juga, berbincang dengan rakan kita semua agar ada kesepakatan ke hadapan,” katanya kepada Bernama selepas sesi lawatan persiapan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) pada Ahad.
Amir Hamzah berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai kesan tarif AS terhadap unjuran inflasi Malaysia untuk tahun ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan unjuran inflasi untuk tahun ini sekitar 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.
Beliau berkata, unjuran inflasi sudah mengambil kira pelarasan subsidi yang dirancang pada masa hadapan.
“Ekonomi kita masih rancak lagi, jadi kadang-kadang apabila ekonomi itu amat rancak, ada tekanan sikit daripada segi inflasi.
“Kita belum mengambil kira lagi apakah yang akan berlaku kalau tarif ini mengambil dan menekan ekonomi dengan lebih. Di bawah kerajaan kita ada majlis bersama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memberi pandangan hala tuju bagi menangani isu yang ada ini,” katanya.
Turut hadir pada sesi itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Amir Hamzah seterusnya menyebut minggu hadapan, di samping mesyuarat menteri kewangan dan gabenor bank negara serantau yang dijadualkan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz akan bertemu dengan rakan sejawatannya, manakala Perdana Menteri akan meneruskan perbincangan dengan ketua-ketua negara ASEAN.
“Semua negara akan berbincang berhubung apa yang penting untuk setiap negara. Kesefahaman dan kesepakatan ASEAN memang dari lama lagi sudah ada, jadi apabila kita berbincang, kita berjalan bersama,” katanya.
Menurut BNM, kesan inflasi daripada langkah dasar domestik dan pelarasan cukai yang diumumkan, termasuk rasionalisasi sasaran subsidi RON95 dan pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan, dijangka bersifat sementara dan boleh diuruskan dengan baik.
BNM menyatakan bahawa inflasi diunjurkan meningkat kepada antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus tahun ini, berbanding purata 1.8 peratus pada 2024.
Tetapi ia dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
Ekonomi Malaysia juga diramalkan berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil walaupun berdepan ketidaktentuan luaran.








