PUTRAJAYA – Amanah Johor bersetuju agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, disiasat berhubung peranannya dalam isu tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, siasatan RCI berkenaan mendapati telah Mahathir membuat keputusan sepihak apabila mahu semakan semula kes tuntutan berkenaan dihentikan.
“Amanah Johor mengharapkan keadilan dapat ditegakkan selain membolehkan rakyat tahu alasan Tun Mahathir tidak mahu meneruskan semakan kes tuntutan Pulau Batu Puteh sebelum ini.
“Kita memang sejak dulu berpendirian tetap mahu semakan semula keputusan ICJ dibuat kerana ia melibatkan maruah negara, ” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Dalam pada itu, Aminolhuda menegaskan, pihak mengharapkan agar tindakan serta kejadian seperti itu tidak lagi berulang pada masa akan datang.
“Kami menyatakan sokongan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, yang mahu mencari penyelesaian serta menambah baik isu kedaulatan negara dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.
“Untuk sokongan terhadap syor siasatan jenayah itu, Amanah Johor melihat perlunya rakyat mengetahui apa yang berlaku dalam kes kedaulatan negara seperti isu Pulau Batu Puteh,” katanya.




