
PENGARAH Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mencipta sejarah tersendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap apabila berjaya menunjukkan makna ‘politik matang’ yang sebenar menerusi sukan bola sepak.
Meskipun bermula dengan cabar-mencabar di kedua pihak ketika Akmal mempelawa Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyertai perlawanan tersebut namun, perlawanan yang diadakan di padang awam Taman Pekatra, Simpang Ampat, pada petang Ahad berakhir dengan aman dan akrab di kedua-dua belah pihak.
Perlawanan persahabatan yang diadakan sempena PRK Sungai Bakap itu berjaya menarik perhatian lebih 500 penyokong daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dari pelbagai peringkat umur.

Anjuran perlawanan persahabatan tersebut menurut Akmal sebagai wadah untuk melibatkan anak muda yang juga merupakan pengundi di Sungai Bakap untuk bersama-sama dalam kempen sehingga keluar pada hari mengundi yang dijadual pada 6 Julai akan datang.
“Jadi seperti yang saya nyatakan sebelum ini hasrat kita mengadakan perlawanan persahabatan hari ini adalah untuk menarik anak muda untuk bersama.
“Dalam keadaan suasana kempen sudah pasti mesej paling utama adalah isu-isu yang terkait dengan penduduk setempat maka di peringkat Kerajaan Perpaduan, jentera perpaduan dan juga Pakatan Harapan kita memang menumpukan rapat umum, pertemuan dengan penduduk tempatan menerangkan isu-isu berkenaan.
“Termasuklah kalau di pihak saya menceritakan soal cabaran mengenai bekalan air, tetapi pada masa yang sama untuk merancakkan kempen bagi menyegarkan penglibatan anak muda.
“Jadi sebab itu kalau dilihat pun susunan petang ini bersifat santai, karnival light yang secara natural yang mana yang akan memeriahkan susana ini lah.
“Jadi bagi saya, saya mengambil hasrat lebih kepada ukwah dan juga semangat untuk kita menjaga keharmonian sepanjang kempen, maka kita aturkan juga, sebab yang menjadi cabaran di peringkat saya apabila di awalnya komitmen itu tidak jelas di peringkat mereka, kami juga telah menjemput pasukan tempatan untuk bermain jadi, bila ada dua pasukan nak bermain dengan kami maka kita cuba bagi kedua-dua untuk bermain bersama.
“Bagi saya ini satu petanda yang baik bahawa kempen politik kita semakin matang supaya unsur-unsur provokasi ekstrem dan sebagainya kita redakanlah. Jadi mesej yang saya cuba sampaikan juga adalah bahawa sementara kita cuba memfokuskan menyelesaikan isu-isu semasa kita juga boleh berdamping dengan masyarakat setempat melalui aktivi riadah ini,” katanya kepada pemberita.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan pilihan Akmal berjaya menewaskan pasukan pilihan Sanusi dengan jaringan 3-2 menerusi jaringan pembukaan yang dibuat oleh Akmal.
Sepanjang perlawanan berlangsung, kedua-dua penyokong masing-masing menunjukkan disiplin yang tinggi tanpa sebarang provokasi melampau selain dilihat mesra sesama mereka serta boleh duduk bersama dalam memberikan sokongan terhadap pasukan pilihan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bersatu, Mohd Asyraf Mustaqim Badrul Munir yang juga merupakan salah seorang pemain dalam pasukan pilihan Sanusi menyambut baik perlawan itu.
Meskipun berlainan pandangan serta bermusuh dalam politik namun, program kempen anjuran Akmal yang melibatkan kedua belah seteru politik itu menurut Asyraf merupakan suatu amalan politik baharu dalam negara yang lebih sihat dan matang.
“Ini adalah satu orang kata testimoni bahawa dalam kita berpolitik pun kita sebenarnya nak mengamalkan budaya politik yang baharu iaitu budaya politik yang sihat dan kita lebih terbuka cuma jangan main kecoh, dalam politik jangan main kecoh,” katanya kepada pemberita.
Pasukan pilihan Sanusi yang dibarisi beberapa pemain seperti wakil rakyat, Exco Kedah dan bekas pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Muhammad Radhi Mat Din, Datuk Salleh Saidin, Helmi Heliza Alias dan Nelson Sam Martin.
Perlawanan persahabatan tersebut mendapat reaksi positif dalam kalangan penyokong sama-ada dari Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional.
Sepanjang perlawanan berlangsung juga, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku malah, kedua-dua pihak juga turut bersalaman termasuk dalam kalangan penyokong.