Aksi lucah di kubur, pasangan dipenjara 12 bulan

GEORGE TOWN – Seorang pengawal keselamatan dan penganggur dikenakan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan aksi tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan di sini pada minggu lalu.

Halila Abu Bakar, 37, dan M Jegathesan, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret 3 hari ini.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama telah melakukan kelucahan melampau di kawasan tanah perkuburan Cina yang merupakan tempat awam.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kawasan Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung, Ayer Itam pada jam 8.30 pagi, 22 Mac lalu.

Oleh demikian, mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin sementara pasangan tersebut diwakili peguam, R Purantharan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau di tempat awam pada 22 Mac lalu.

Dalam pendakwaannya, Lau Shavin memohon satu hukuman yang berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan amaran kepada orang lain agar tidak melakukan perbuatan yang sama.

“Saya memohon satu hukuman setimpal kerana kesalahan ini melibatkan kepentingan awam berikutan berlaku di tempat awam iaitu tanah perkuburan selain ia merupakan satu perbuatan yang salah di sisi agama masing-masing.

“Selain itu, tertuduh kedua sudah berumah tangga. Kedua-dua tertuduh tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Purantharan kemudiannya memohon hukuman ringan berikutan tertuduh pertama tidak bekerja sementara tertuduh kedua mempunyai tanggungan keluarga.

“Tertuduh pertama masih bujang dan tinggal bersama keluarga yang mana, dia ditanggung oleh keluarganya.

“Sementara tertuduh kedua, dia sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji bulanan RM1,800.

“Dia juga menanggung isterinya yang kini menghidap angin ahmar. Oleh itu, mohon hukuman dikurangkan kepada kedua-dua tertuduh,” katanya.

Nadratun kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan daripada tarikh ditangkap terhadap setiap tertuduh.

Sebelum ini, polis menahan pasangan warga tempatan itu selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Suspek wanita ditahan kira-kira jam 8.35 malam di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak, manakala suspek lelaki diberkas kira-kira jam 11.10 malam di hadapan sebuah bangunan berhampiran Jalan Paya Terubong, Sungai Ara pada Isnin.

Kedua-dua suspek ditahan pada hari sama selepas pihak polis menerima laporan berhubung video tular berkenaan.

Dalam rakaman berdurasi 38 saat itu, seorang lelaki dilihat dalam keadaan tidak berpakaian sambil membelakangi kamera manakala seorang wanita pula hanya berpakaian separa dan duduk di atas batu nisan.

Rakaman tersebut turut memaparkan suara seorang wanita yang menegur pasangan terbabit dengan mendakwa kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di lokasi berkenaan.

Dalam klip sama, lelaki berkenaan kelihatan bersahaja mengenakan semula seluarnya sementara individu yang merakam terus menegaskan kawasan perkuburan seharusnya dihormati sebagai tempat memperingati orang mati.

Lelaki itu kemudian memohon maaf atas perbuatannya, namun permohonan tersebut tidak diterima apabila wanita berkenaan memberi amaran akan membuat laporan kepada pihak polis.

Related Posts

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

KUNDASANG – Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kampung Mesilou berpontensi menjadi hab pengeluaran strategik negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha memartabatkan makanan tradisional Sabah dengan memperkenalkan pendekatan psikologi dan Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM) bagi meningkatkan kesedaran serta sikap positif…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan