
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menepis sekeras-kerasnya tohmahan kononnya beliau pernah menyatakan isu memijak Al-Quran tidak perlu diselesaikan dengan hukuman.
Beliau menegaskan, kenyataan tersebut diputar belit melalui tajuk berita sensasi sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, tindakan telah diambil dan pihaknya telah menyerahkan kepada pihak berkuasa menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan lunas undang-undang.
“Isu pijak al-Quran, adakah benar saya mengatakan tidak perlu diselesaikan dengan hukuman? Cuba teliti video penuh temubual saya, tanpa membaca tajuk berita yang sengaja disensasikan, saya tidak pernah berkata hukuman tidak perlu.
“Saya tegaskan, tindakan telah diambil dan kita serahkan kepada pihak berkuasa (MCMC dan PDRM) mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menyifatkan bahawa tindakan yang menghina al-Quran itu sememangnya menyakitkan hati umat Islam.
Namun katanya, dari sudut dakwah, beliau menyeru kepada pendekatan mengajar dan berhikmah serta bukannya menolak hukuman.
“Hikmah dan mendidik ini adalah ditujukan untuk masyarakat di luar khususnya generasi tunas, untuk mengelakkan perkara sama terus berulang pada masa depan.
“Ini yang saya maksudkan dengan pendidikan. Bukan menolak hukuman kepada penghina Islam tersebut.
“Jangan kerana tajuk sensasi, kita terjebak dalam fitnah. Ramadan ini, sama-sama kita jaga lisan dan hati,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, tiada sebarang kompromi kepada pihak yang menghina al-Quran dan kini dua badan penguatkuasa MCMC dan PDRM sedang bertungkus lumus menjalankan tangkapan reman dan soal siasat
Beliau menegaskan, keperluan tindakan tersebut diambil oleh pihak berkuasa bagi memastikan si pelaku dapat dijatuhkan hukuman setegasnya mengikut undang-undang.
“Ada pihak menyebarkan fitnah dengan meletakkan gambar satu kes syabu, kononnya berkaitan kes menghina al-Quran.
“Ini tidak benar. Kertas siasatan siap 2 Mac dan didakwa 3 Mac. Keputusan belum dijatuhkan. Sebarang dakwaan bahawa suspek dibebaskan atau dihukum ringan adalah tidak tepat,” katanya.






