
KANGAR – Seorang jurulatih badminton mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai RM55 kepada seorang koperal polis pada Mei 2022.
Tertuduh, Lim Chon Shia, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dengan perintah penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh memberi wang tunai RM55 sebagai balasan supaya anggota polis berkenaan tidak mengambil tindakan membawanya ke muka pengadilan kerana melakukan kesalahan memandu tanpa lesen sah.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Guar Nangka, Arau kira-kira pukul 10.45 pagi pada 28 Mei 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan kerana memberi suapan sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan bagi kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid bersama Pegawai Pendakwa SPRM Perlis, S. Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.
Tertuduh membayar denda berkenaan.




