
TATAU — Kerajaan Persekutuan terus mempergiat usaha meningkatkan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar apabila beberapa projek pembangunan dan pembinaan semula sekolah di Bintulu diserahkan dalam satu majlis rasmi di Sekolah Kebangsaan Kuala Annau, pada Ahad.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, dengan kehadiran pegawai pendidikan daerah, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pentadbir sekolah terlibat.
Penyerahan itu melibatkan pembinaan bangunan gantian penuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Hermanus Assan, Sebauh serta pembangunan semula sekolah daif di SK Kuala Annau, SK Rumah Keseng, SK Sungai Segian Labang dan SK Ulu Kakus melalui peruntukan khas kerajaan.
Pelaksanaan projek merangkumi pembinaan blok bilik darjah baharu, asrama murid lelaki dan perempuan, dewan makan, blok pentadbiran, rumah guru serta kemudahan sokongan lain bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.
Dalam ucapannya, Omar menegaskan peningkatan prasarana sekolah di kawasan pedalaman kekal menjadi keutamaan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Usaha menaik taraf infrastruktur sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, merupakan langkah penting bagi memastikan setiap murid memperoleh peluang pendidikan yang adil tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menumpukan kepada pengurangan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar, peningkatan kesejahteraan murid serta penyediaan persekitaran pembelajaran abad ke-21 yang inklusif.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan sekolah yang lengkap dan moden akan memberi impak positif kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Apabila prasarana sekolah dipertingkat, ia bukan sahaja meningkatkan keselesaan murid dan guru, malah menyokong pembangunan modal insan yang berkualiti untuk negeri dan negara,” ujarnya.

Majlis penyerahan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta semua agensi pelaksana dalam memastikan setiap murid mendapat akses pendidikan yang selamat, adil dan berkualiti.
Foto: Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak





