Projek sekolah di Bintulu diserah, perkukuh pendidikan luar bandar

TATAU — Kerajaan Persekutuan terus mempergiat usaha meningkatkan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar apabila beberapa projek pembangunan dan pembinaan semula sekolah di Bintulu diserahkan dalam satu majlis rasmi di Sekolah Kebangsaan Kuala Annau, pada Ahad.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, dengan kehadiran pegawai pendidikan daerah, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pentadbir sekolah terlibat.

Penyerahan itu melibatkan pembinaan bangunan gantian penuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Hermanus Assan, Sebauh serta pembangunan semula sekolah daif di SK Kuala Annau, SK Rumah Keseng, SK Sungai Segian Labang dan SK Ulu Kakus melalui peruntukan khas kerajaan.

Pelaksanaan projek merangkumi pembinaan blok bilik darjah baharu, asrama murid lelaki dan perempuan, dewan makan, blok pentadbiran, rumah guru serta kemudahan sokongan lain bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.

Dalam ucapannya, Omar menegaskan peningkatan prasarana sekolah di kawasan pedalaman kekal menjadi keutamaan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Usaha menaik taraf infrastruktur sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, merupakan langkah penting bagi memastikan setiap murid memperoleh peluang pendidikan yang adil tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menumpukan kepada pengurangan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar, peningkatan kesejahteraan murid serta penyediaan persekitaran pembelajaran abad ke-21 yang inklusif.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan sekolah yang lengkap dan moden akan memberi impak positif kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Apabila prasarana sekolah dipertingkat, ia bukan sahaja meningkatkan keselesaan murid dan guru, malah menyokong pembangunan modal insan yang berkualiti untuk negeri dan negara,” ujarnya.

Majlis penyerahan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta semua agensi pelaksana dalam memastikan setiap murid mendapat akses pendidikan yang selamat, adil dan berkualiti.

Foto: Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak

Related Posts

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

KOTA KINABALU – Sabah secara rasmi menyertai Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) bagi memperkukuh pengurusan data aset jalan secara lebih bersepadu, sistematik dan telus di peringkat nasional. KKR dalam kenyataan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor pembinaan negara menerusi penganjuran Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 yang menghimpunkan pengurusan tertinggi dan pegawai teknikal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia