
KUALA LUMPUR – Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima diharap dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga, khususnya kepada lebih 630,000 masyarakat India yang bakal menyambut Deepavali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus disalurkan bagi memastikan golongan memerlukan mendapat sokongan dalam mengurus keperluan harian serta perbelanjaan akhir tahun.
“Seronok dapat bertemu, bertegur sapa dan berkongsi kemeriahan bersama mereka, sambil mengambil kesempatan bertanyakan persiapan serta harapan menjelang perayaan ini.
“Kerajaan MADANI telah menghamparkan Belanjawan 2027 yang menyentuh setiap lapisan masyarakat tanpa ada yang terpinggir. Ini termasuk komuniti India yang antaranya menerima peruntukan tambahan RM150 juta menerusi MITRA, peningkatan pembiayaan untuk usahawan India di bawah TEKUN dan AIM, peruntukan baik pulih dan pembinaan SJKT, serta peruntukan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam yang turut memanfaatkan komuniti India.
“Semoga dukungan ini membantu memperluas peluang meningkatkan pendapatan, menambah baik kemudahan pendidikan dan memelihara kesejahteraan komuniti India di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni peniaga dan pengunjung di Mega Bazar, Brickfields sempena sambutan Deepavali pada Rabu.
Beliau berharap sokongan berkenaan dapat memperluas peluang menjana pendapatan, meningkatkan kemudahan pendidikan serta memelihara kesejahteraan komuniti India di negara ini.



