
KUALA LUMPUR – Pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali bermula tengah malam Jumaat ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun itu membabitkan bayaran pampasan berjumlah RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
“Pelaksanaan diskaun ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya masyarakat beragama Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga bagi meraikan sambutan Deepavali,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, diskaun itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas Satu di semua plaza tol, manakala pengguna Kelas Dua turut menikmati potongan berkenaan di Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, diskaun berkenaan tidak melibatkan plaza tol sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Dalam pada itu, Nanta menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Beliau turut mengingatkan pengguna supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan, selain mematuhi had laju dan menjaga jarak selamat antara kenderaan.
Pengguna juga disaran berehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu serta menyemak maklumat trafik dan insiden lebuh raya menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).



