
HOSPITAL Seberang Jaya, Pulau Pinang mencipta sejarah apabila menjadi hospital daerah pertama di Semenanjung Malaysia yang menyediakan perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian membanggakan seluruh warga Hospital Seberang Jaya, khususnya pasukan pakar jantung yang menjayakan pelaksanaan kedua-dua prosedur berkenaan.
“Januari lalu, saya telah berkunjung ke Hospital Seberang Jaya untuk merasmikan bangunan baharu hospital ini. Perkembangan ini tentunya menggembirakan tatkala peningkatan fasiliti telah disusuli dengan peluasan rawatan kepakaran yang amat diperlukan penduduk Seberang Perai dan sekitarnya.
“Peluasan perkhidmatan ini juga dijangka dapat memendekkan tempoh menunggu serta mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada doktor, jururawat, petugas kesihatan serta pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan atas kejayaan ini,” kongsinya di Facebook malam tadi.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keupayaan hospital awam bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada rawatan berkualiti dalam tempoh lebih singkat.
Katanya, usaha itu penting bagi memelihara nyawa serta meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi sistem kesihatan awam yang lebih berupaya.



