
JASIN – Kesukaran mendapatkan lesen, kos penyelenggaraan bot yang semakin tinggi serta keperluan peralatan moden antara cabaran dihadapi komuniti nelayan, khususnya golongan muda yang mahu menjadikan sektor perikanan sebagai sumber pendapatan.
Keadaan itu menyebabkan nelayan baharu berdepan kesukaran untuk memulakan pekerjaan berkenaan, apatah lagi apabila mereka perlu menyediakan modal permulaan sekurang-kurangnya RM15,000 bagi mendapatkan bot, enjin dan jaring.
Mohd Redzuan Abu Samah, 42, nelayan merangkap Ahli Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Kuala Sebatu, Sungai Rambai dan ahli Persatuan Nelayan Daerah Jasin berkata, peraturan sedia ada yang menetapkan pengalaman turun ke laut kira-kira 10 tahun sebelum seseorang boleh mendapatkan lesen menjadi antara kekangan kepada golongan muda.
“Undang-undang perikanan ni masih tak berubah. Perlu kena ke laut lebih kurang sepuluh tahun, baru boleh dapat lesen.
“Jadi contoh kita ke laut baru ikut-ikut ni, lepas itu kita dah ada perahukan. Jadi tak lebih daripada sepuluh tahun. Ketika di laut, kena tahan dengan pihak berkuasa, kena rampas. Jadi itulah masalah dia.
“Tapi kebanyakan sini, kalau dah ke laut itulah satu pencarian utama dia. Tapi kalau dah kena rampas bot, dah kena rampas enjin, nak beli balik tu… makan kos,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.

Modal permulaan bagi nelayan baharu tidak kurang RM15,000, merangkumi kos perahu, enjin dan jaring yang berbeza mengikut jenis tangkapan.
“Permulaan tak kurang daripada lima belas ribu kos. Termasuk enjin. Enjin harga lain, perahu harga lain, jaring harga lain. Itu bergantunglah kalau dia pakai jaring udang, sekian harganya. Kalau dia pakai jaring ikan pun ada jaring ikan,” katanya.
Selain kekangan mendapatkan lesen, katanya, kebanyakan bot nelayan di kawasan itu sudah berusia lebih 10 tahun dan kerap mengalami kerosakan sehingga memerlukan perbelanjaan tinggi untuk pembaikan.
“Contoh kalau bahagian bawah saja, ‘gearbox’ saja, kalau masuk, tak kurang daripada RM600. Tapi tak boleh buat apa. Nak beli enjin baru, sekarang enjin mahal. Satu biji kalau harga RM3,000 ke RM4,000 pun hampir-hampir RM10,000. Kesian nelayan, nak dapat RM10,000, kena kumpul lamalah,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkata, penggunaan teknologi seperti sistem penentu kedudukan global (GPS) dan peranti pengesan ikan (fish finder) semakin penting bagi membantu nelayan mengenal pasti kawasan sasaran untuk mendapatkan hasil tangkapan.

Katanya, perkembangan teknologi turut mengubah kaedah nelayan mencari ikan berbanding generasi terdahulu yang lebih bergantung kepada pemerhatian keadaan alam dan bintang sebagai panduan ketika berada di laut.
“Untuk nelayan, pada saya, kita pun ikut teknologi sekarang kan, kita pun ikut perkembangan semasa. Jadi dulu orang, orang dulu cari ikan, dia tengok sana, dia tengok bintang, dia tengok apa, itu panduan dia lah. Dia belajar macam tu.
“Tapi sekarang ni generasi baru, dia banyak bergantung pada tu lah. GPS, find finder dan bergantung pada tu. Maknanya sekarang ni nelayan, kalau nak dapat hasil yang lebih, dia kena adalah alatan itu. Supaya dia keluar je ke laut, dia dapat tepat kawasan sasaran untuk naik ikan,” katanya.
Sehubungan itu, dia merayu kerajaan negeri memberi perhatian terhadap cabaran dihadapi komuniti nelayan, khususnya membabitkan isu permohonan lesen, bantuan enjin bot dan penyediaan peralatan moden.
Jelasnya, bantuan berkenaan penting bagi meringankan beban nelayan serta memastikan golongan muda terus mempunyai peluang menjadikan sektor perikanan sebagai sumber pendapatan.



