
TAWAU – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau mengisytiharkan daerah ini dilanda bencana banjir, pada Sabtu.
Pengerusinya yang juga Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan serta maklumat lapangan yang diterima daripada agensi-agensi berkaitan.
“Pengisytiharan itu pada 11.30 malam (Sabtu), ” katanya dalam Kenyataan, pada Ahad.
Difahamkan, susulan kejadian banjir, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Mohammad Suryady Bandy menerusi perkongsian di Facebooknya memaklumkan persediaan awal PPS Dewan OT Jantan disediakan sekiranya banjir bertambah teruk.
Hujan lebat berterusan pukul 7 malam sehingga awal pagi Ahad mengakibatkan beberapa kawasan termasuk jalan raya utama dinaiki air serta tidak boleh dilalui sementara.
Antaranya Batu 9 Jalan Apas (Shan Shui), dan Jalan Ranggu manakala kawasan lain terjejas ialah Batu 2 Saddani, Simpang 5 Jalan Sin On, Jalan Takada, Kampung Saddani Batu 2, Taman Emas, Taman Pr1ma Ranggu, Tanjung Batu Otentik dan Kampung Tanjung Batu Keramat.
Setakat pukul 4.30 pagi, banjir di beberapa kawasan dipercayai mulai surut.







