
AKHIRNYA, setelah bertahun-tahun rakyat Kedah disuap dengan janji berangkai dan projek berskala mega, sebuah projek yang benar-benar boleh disentuh akhirnya muncul projek penanaman pokok buluh dan asoka di sepanjang Sungai Korok.
Inilah mercu tanda terbaharu kejayaan pentadbiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ironinya, Sungai Korok bukan simbol kemajuan, tetapi lokasi tragedi yang pernah meragut nyawa.
Namun, di sinilah kepimpinan negeri memilih untuk bergambar dan tersenyum, seolah-olah menanam pokok mampu menutup kegagalan merancang keselamatan dan infrastruktur asas.
Sebelum ini, rakyat dijanjikan pelbagai projek bertaraf nasional. Litar lumba di Sungai Petani, pelabuhan Sanglang, stadium setaraf Johor Darul Ta’zim dan semuanya diumumkan dengan gaya seorang pemimpin yang bercakap besar sebelum kertas kerja pun wujud.
Hari ini, yang tinggal hanyalah rakaman ceramah dan ingatan pahit rakyat yang terus menunggu.
Lebih memalukan, apabila ditekan, Menteri Besar sendiri mengaku bahawa beliau hanya tolong umum sahaja.
Dalam bahasa rakyat, cakap dulu, buat entah bila atau mungkin tidak wujud langsung.
Di bawah panji-panji Islam yang dilaungkan saban hari, rakyat dijanjikan kepimpinan berakhlak dan berwibawa. Namun realitinya, ekonomi Kedah terus tercorot, peluang pekerjaan semakin mengecil, dan anak muda berhijrah beramai-ramai ke negeri lain demi sesuap nasi.
Kerajaan Merong Mahawangsa yang gah suatu masa dahulu akhirnya tinggal slogan.
Lebih ironik, pelaburan yang masuk ke Kedah hari ini banyak bergantung kepada usaha kerajaan Persekutuan. Tanpa jemputan dari pusat, negeri ini seolah-olah kehilangan arah. Sebuah kerajaan negeri yang kononnya paling pandai mentadbir, tetapi masih menunggu orang lain datang menyelamatkan keadaan.
Jurang antara pidato berapi di pentas ceramah dan prestasi sebenar di lapangan kini terlalu ketara. Di atas pentas, suaranya lantang dan sindirannya tajam.
Di lapangan, hasilnya setipis daun asoka yang baru ditanam.
Jika inilah tahap pencapaian sebuah kerajaan negeri, maka rakyat Kedah sebenarnya tidak ditadbir tetapi mereka hanya dihiburkan.
Dihiburkan dengan slogan, dikhayalkan dengan janji, dan dipukau dengan ceramah, sementara masa depan negeri perlahan-lahan dicuri oleh ketidakcekapan sendiri.
Pilihan raya bukan pentas hiburan. Ia adalah medan menentukan hidup dan mati ekonomi sebuah negeri.
Apabila rakyat tersilap memangkah, yang memerintah bukanlah pemimpin berwawasan tetapi pelakon pentas yang hanya tahu berlakon hebat di hadapan mikrofon.
Dan hari ini, rakyat Kedah sedang menuai apa yang mereka benarkan ditanam:
bukan pembangunan, tetapi pokok asoka.
Justeru itu, penulis menasihatkan kepada rakyat Kedah terutamanya golongan muda sudah sampai masanya ayuh bangkit bagi membawa Kedah ke arah negeri yang cemerlang.
