YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Perancis, Emmanuel Macron berjalan kaki ke Pasar Seni dan Jalan Petaling selepas menyusuri Sungai Klang di kawasan River of Life, Kuala Lumpur. 17 November 2026. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subjects, individu
KEUPAYAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi hubungan diplomatik dengan kuasa besar dunia dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik di pentas antarabangsa, kata pemerhati politik, Ahmad Mursi.
“Orang mungkin nampak macam perkara biasa. Seorang Presiden datang melawat Malaysia, Perdana Menteri sambut, bersalaman, kemudian bergambar.
“Tapi dalam diplomasi antarabangsa, lawatan pemimpin negara besar bukan sekadar acara sambut tetamu,” kata menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, Perancis merupakan antara kuasa ekonomi utama Eropah selain mempunyai pengaruh besar dalam Kesatuan Eropah (EU) dan merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, hubungan dengan Perancis membuka peluang kepada Malaysia untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi penerbangan, pertahanan, tenaga, pendidikan dan penyelidikan.
Menurutnya, perhatian diberikan Anwar terhadap kunjungan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencerminkan usaha meletakkan hubungan Malaysia-Perancis pada kedudukan lebih strategik.
“Malaysia bukan negara besar dari segi kuasa ketenteraan. Tetapi kita mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi, hubungan perdagangan dan peranan dalam ASEAN.
“Dalam keadaan dunia semakin berpecah mengikut kepentingan kuasa besar, Malaysia perlu bijak berkawan dengan semua pihak tanpa terikat kepada mana-mana blok,” katanya.
Ahmad Mursi berkata, pendekatan diplomasi itu penting bagi memastikan Malaysia terus mempunyai suara dan kepentingan yang dihormati dalam hubungan antarabangsa.
Katanya, dalam politik antarabangsa, saiz sesebuah negara bukan penentu mutlak pengaruhnya, sebaliknya keupayaan menjadikan negara itu penting kepada negara lain.
“Kerana dalam politik antarabangsa, bukan berapa besar negara kita yang menentukan segalanya. Tetapi sejauh mana kita mampu menjadikan Malaysia penting kepada negara lain,” katanya.
Untuk rekod, Macron mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia pada 16 dan 17 November lalu atas jemputan Anwar, sekali gus menjadi kunjungan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Presiden Perancis pada Mei 2017.
Pada 17 November, Macron diberikan sambutan negara di Dataran Merdeka sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis kepada tahap Perkongsian Strategik, merangkumi kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, perdagangan, pelaburan, mineral kritikal serta peralihan tenaga.
Malaysia dan Perancis turut menyaksikan pertukaran tujuh dokumen kerjasama termasuk tiga memorandum persefahaman (MoU) dan dua surat hasrat (LoI), selain dokumen berkaitan kerjasama pertahanan serta keselamatan.
Antara kerjasama yang dimeterai termasuk pembangunan industri mineral kritikal, peralihan tenaga, perkongsian industri pertahanan dan pembangunan projek kabel dasar laut bagi memperkukuh kesalinghubungan digital.
Macron bersama isterinya, Brigitte Macron dan delegasi Perancis berlepas pulang pada 17 November selepas menamatkan lawatan berkenaan.



