
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada pelumba muda berbakat dari Indera Mahkota, Muhammad Qaish Isyraf Mohd Qayyum, bagi membantu persiapannya menyertai kejohanan motosikal antarabangsa di Sepanyol.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, sumbangan itu disampaikan menerusi wakil beliau bagi menyokong Qaish yang bakal membawa cabaran negara dalam FIM MotoMini World Final Series bagi kategori 160cc di Valencia.
“Adik Qaish akan beraksi dalam FIM MotoMini World Final Series bagi kategori 160cc di Valencia, Sepanyol. Sumbangan ini diharapkan dapat menjadi pembakar semangat serta membantu menampung sebahagian perbelanjaan beliau sepanjang menyertai kejohanan berprestij tersebut,” katanya menerusi Facebook.
Farhan berkata, setiap anak mempunyai potensi untuk mencipta kejayaan tersendiri, namun mereka memerlukan peluang, sokongan dan dorongan untuk melangkah lebih jauh.
Menurut beliau, sokongan terhadap bakat anak tempatan merupakan antara komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan mereka mendapat perhatian dan peluang untuk berkembang, seterusnya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Bawalah semangat Malaysia dan pulanglah dengan kejayaan yang membanggakan!” katanya.


