
KERJASAMA politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) didakwa semakin menunjukkan tanda-tanda awal susulan kehadiran Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah).
Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar mendakwa kehadiran Azmin pada konvensyen berkenaan, hari ini, memberi gambaran bahawa hubungan politik antara Bersatu dan PH mungkin sedang menuju ke arah kerjasama lebih erat.
Beliau turut mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Hilman Idham dan Dr Hafiz Bahardin, turut kelihatan bersama Azmin pada majlis berkenaan.
Menurut Sayuti, kehadiran pemimpin Bersatu pada konvensyen Amanah itu boleh dilihat sebagai petunjuk awal kepada kemungkinan parti berkenaan menjalin kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU16.
“Kerjasama politik bagi memantap Pakatan Harapan bagi hadapi pilihan raya umum akan datang sedang berbunga dan bakal mengeluarkan putik,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Beliau turut mengaitkan perkembangan itu dengan situasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu apabila Bersatu didakwa tidak bersungguh-sungguh meletakkan calon untuk menentang calon PH di beberapa kawasan.
“Sekiranya Bersatu akan bersama PH ia menjadikan pilihan raya ke-16 nanti lebih menarik kerana akan berlaku pertembungan dua koalisi besar BN-PN (Barisan Nasional-Perikatan Nasional) dengan PH.
“Dalam pada itu Amanah boleh jadi mediator untuk pereratkan Bersatu dengan parti parti rakannya DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) menerusi PH.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai kemungkinan kerjasama Bersatu dan PH itu masih berupa spekulasi politik dan belum disahkan secara rasmi oleh mana-mana pihak.



