
KUCHING – Kuching Waterfront Esplanade bakal menjadi tumpuan peminat muzik apabila dua acara hiburan berskala besar, Soul City–An R&B Night dan Hyper Freedom 2026, dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Disember ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, kedua-dua acara itu bakal menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa menerusi persembahan muzik rhythm and blues (R&B) serta muzik tarian elektronik (EDM).
Menurutnya, penganjuran acara berkenaan bukan sahaja menawarkan pengalaman hiburan yang berbeza kepada pengunjung, malah berpotensi memperkukuh kedudukan Kuching sebagai destinasi pelancongan berasaskan acara dan industri kreatif di rantau ini.
“Gabungan dua konsep muzik ini akan memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung, sekali gus mengetengahkan kepelbagaian industri muzik dan kreativiti yang boleh ditampilkan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Soul City – An R&B Night dan Hyper Freedom 2026 di Star On Stage (SOS), pada Jumaat.

Konsert Soul City – An R&B Night yang berlangsung pada 4 Disember bakal menampilkan penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan sebagai artis undangan istimewa.
Konsert itu turut menghimpunkan barisan penyanyi dan kumpulan muzik tempatan termasuk Ruffedge, Lah Ahmad, Innuendo serta The Fabulous Cats.
Pengarah muzik, Dato’ Acis pula akan bertindak sebagai Pengarah Muzik bagi menyelaraskan susunan muzik dan persembahan sepanjang konsert berkenaan.
Sementara itu, Hyper Freedom 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Disember bakal menampilkan duo DJ antarabangsa, Showtek sebagai antara tarikan utama.
Festival EDM selama dua hari itu turut membariskan DJ dan penerbit muzik dari Malaysia serta luar negara termasuk Code Black, Wildstylez, Ran-D, Bayka, Hannah X, SUAE, Technikore, Verzan, YLII dan N52.
Antara nama lain yang dijadualkan membuat persembahan ialah +BLINK, Crossfinger, Denka, MYMAX, Muffin, MILE, Rachel B., Suicideboy dan TINO.
Bakat muzik Sarawak turut mendapat tempat menerusi penyertaan Intan, Veen B2B Huriden dan X06ALLONS yang bakal berkongsi pentas bersama penggiat muzik antarabangsa.
Dalam pada itu, Snowdan berkata, penganjuran kedua-dua acara berkenaan berpotensi menarik kehadiran peminat muzik dari seluruh Malaysia, Indonesia, Brunei dan negara serantau.
Menurutnya, kehadiran pengunjung dijangka merancakkan aktiviti pelancongan serta memberikan manfaat kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan tempatan.
Penganjuran Soul City – An R&B Night dan Hyper Freedom 2026 juga dijangka menyediakan peluang kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk memperluas jaringan kerjasama dan memperkenalkan bakat Sarawak kepada khalayak yang lebih luas.
Kedua-dua acara itu sekali gus berpotensi memperkukuh daya tarikan Kuching sebagai lokasi penganjuran festival muzik serantau, selain menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan pelancongan dan industri kreatif.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



