KETIKA UMNO begitu lantang mempersoalkan pendirian Menteri Wilayah, Hannah Yeoh berhubung pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak sehingga timbul tuduhan tidak menghormati institusi diraja, perkembangan di Negeri Sembilan kini mengundang persoalan besar terhadap konsistensi parti itu sendiri.
Adakah prinsip menghormati institusi raja hanya perlu ditegakkan apabila melibatkan pihak lawan politik, tetapi boleh ditafsirkan secara berbeza apabila kepentingan politik sendiri menjadi pertaruhan?
Kontroversi membabitkan Hannah tercetus susulan pendiriannya dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membincangkan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Namun, minit mesyuarat yang dinyahrahsia menunjukkan Hannah bukan satu-satunya anggota yang berpandangan Najib perlu meneruskan hukuman penjara.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Tan Sri Razarudin Husain turut menyatakan pandangan sependapat sebelum Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat berkenaan.
Hakikatnya, menyuarakan ketidaksetujuan dalam mesyuarat bukan bermaksud menolak kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Malah, keputusan yang diperkenankan baginda tetap dilaksanakan walaupun terdapat pandangan berbeza dalam kalangan anggota Lembaga Pengampunan.
Justeru, mengapa perbezaan pendapat itu perlu diperbesarkan sehingga menjadi tuduhan tidak menghormati institusi diraja?
Persoalan mengenai konsistensi pendirian UMNO terhadap institusi raja semakin mendapat perhatian apabila kemelut politik dan institusi di Negeri Sembilan terus menjadi perhatian.
Perkembangan membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana proses dan peranan istana dihormati dalam percaturan politik negeri itu.
Kontroversi semakin memuncak apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan peletakan jawatan Ismail menerusi media sosial pada 16 November lalu.
Bagaimanapun, kenyataan Istana Negeri Sembilan pada 17 November menjelaskan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan berkenaan masih belum disahkan.
Lebih penting, istana menegaskan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas dikemukakan kepada dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Istana turut menjelaskan bahawa perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku Muhriz telah disampaikan pada pukul 8.38 malam, iaitu 80 minit sebelum pengumuman Zambry dibuat pada pukul 10 malam.
Perincian itu menimbulkan persoalan mengenai keperluan mengumumkan perkara berkenaan kepada umum sebelum kedudukan surat dan proses berkaitan diperjelaskan oleh pihak istana.
Dalam isu ini, persoalan yang wajar dibangkitkan bukan sekadar sama ada tindakan seseorang pemimpin politik boleh dianggap mencabar institusi diraja.
Sebaliknya, apakah ukuran yang digunakan untuk menilai tindakan tersebut?
Jika Hannah boleh dipersoalkan kerana menyuarakan ketidaksetujuan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, tindakan kepimpinan BN mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar sebelum pengesahan istana juga wajar dinilai secara terbuka.
Ini bukan bermaksud kedua-dua peristiwa mempunyai konteks perlembagaan yang sama. Namun, kedua-duanya membabitkan persoalan tentang tanggungjawab pemimpin politik menghormati proses dan institusi diraja.
UMNO selama ini sering meletakkan institusi raja Melayu sebagai antara prinsip penting perjuangan parti itu.
Justeru, kepimpinan parti berkenaan perlu menjelaskan pendiriannya dalam kemelut Negeri Sembilan, khususnya berhubung pengumuman peletakan jawatan Ismail dan proses yang sepatutnya dipatuhi.
Dalam perkembangan terbaharu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, segala keputusan serta pengumuman rasmi mengenai kedudukan Ismail dan calon Menteri Besar baharu perlu menunggu keputusan istana.
Pendirian itu sekali gus memperlihatkan kepentingan memberikan ruang kepada institusi diraja untuk menentukan perkara berkenaan mengikut proses yang ditetapkan.
Akhirnya, isu ini bukan pertandingan menentukan siapa paling lantang melaungkan perkataan derhaka.
Sebaliknya, ia menuntut satu prinsip yang konsisten: institusi diraja perlu dihormati tanpa mengira parti, kedudukan atau kepentingan politik mana-mana pihak.
Jika prinsip itu mahu dijadikan ukuran untuk menilai Hannah dan DAP, kepimpinan UMNO juga tidak seharusnya terkecuali daripada penelitian yang sama.
Jangan sampai isu derhaka menjadi senjata politik bermusim, lantang apabila menyerang lawan tetapi berhati-hati apabila tindakan sendiri dipersoalkan.

