
MIRI – Tindakan seorang warga asing menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) demi meraih simpati dengan mengutip derma mengundang padah apabila dia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Miri, pada Rabu.
Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat menerusi satu operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini susulan maklumat awam serta isu yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati individu terbabit menjalankan kegiatan kutipan derma secara tidak sah.
“Sejumlah wang tunai berjumlah RM194 telah disita daripada suspek bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati pas lawatan yang digunakan suspek masih sah tempoh, namun telah disalahgunakan untuk tujuan yang bercanggah dengan syarat kemasukan ke negara ini,” katanya pada Khamis.
Jelas kenyataan itu lagi, pemegang PLS hanya dibenarkan berada di Malaysia bagi tujuan lawatan atau pelancongan dan dilarang sama sekali menjalankan sebarang aktiviti pekerjaan atau kutipan derma.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 8(3)(g) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat pas.
Dalam pada itu, JIM Miri menegaskan komitmen pihaknya dalam membanteras sebarang pelanggaran undang-undang imigresen dan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing demi keselamatan serta kedaulatan undang-undang.







