
BANGI – Pas tidak menolak kemungkinan bergerak secara solo, namun menegaskan perkara itu masih di peringkat pertimbangan awal dan belum diputuskan secara muktamad.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti lazimnya meneliti beberapa pilihan strategi termasuk meneruskan kerjasama gabungan atau bertanding bersendirian, bergantung kepada keperluan dan landskap politik semasa.
“Itu biasa dalam parti, ada pilihan A, B dan C. Tetapi belum ada keputusan akhir,” katanya ketika ditemui media di sebuah hotel di Bangi, pada Ahad.
Katanya, sebarang perbincangan berkaitan strategi pilihan raya yang lebih terperinci lazimnya dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti melalui PAS Pusat membabitkan presiden, timbalan presiden serta barisan naib presiden.
“Yang ini bukan perbincangan sulit atau kritikal (permukiman tertutup). Perkara-perkara strategik dibincangkan di peringkat lain,” katanya.
Sementara itu, mengulas berkenaan dakwaan Pas menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin, Takiyuddin menegaskan tidak timbul isu tersebut memandangkan PN adalah gabungan empat parti yang kekal bersatu.
“Kita sudah berkoalisi, mana mungkin kita ketepikan sesiapa. Keempat-empat parti dalam PN masih utuh.
“PN kekal memerintah di empat negeri termasuk Perlis dan tidak berdepan sebarang masalah dalaman setakat ini. Di peringkat negeri pun kita masih PN. Tak ada masalah,” katanya.
Jelasnya, Pas melalui Biro Pemerkasaan Parti merangka pelbagai program tahunan bermula awal tahun ini sebagai persiapan berterusan menghadapi landskap politik semasa termasuk jangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Tiada sebarang keputusan muktamad atau perbincangan kritikal dibuat setakat ini.
“Permukiman berkenaan acara tahunan biasa yang dilaksanakan setiap awal tahun yang diterajui Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan merangkumi perancangan dari peringkat awal sehingga hujung tahun hadapan.
“Program ini bersifat umum dan tahunan, membabitkan peringkat negeri dan persediaan parti menghadapi pilihan raya,” katanya.




