
PUTRAJAYA – Gerakan ‘Muhyiddin Exit’ yang didakwa diketuai oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin jelas bukan sekadar perbezaan pendapat, namun usaha terancang untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kedudukan berpengaruh dalam parti dan Perikatan Nasional (PN).
Pemerhati politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, tuduhan pembohongan terhadap Muhyiddin, aduan disiplin, dan liputan media bersistematik menandakan wujud strategi tersusun yang sengaja menguji kesabaran dan ketahanan parti sehingga menjejaskan kestabilan PN.
Katanya, konflik dilihat semakin memuncak apabila Gerakan dan MIPP menolak cadangan Pas untuk dilantik menjadi Pengerusi PN yang menunjukkan bahawa dominasi Pas tidak diterima oleh semua parti komponen gabungan tersebut.
“Penolakan itu menekankan bahawa bukan semua pihak bersetuju dengan hala tuju Pas yang agresif, dan sebarang percubaan untuk memaksakan kuasa secara unilateral berisiko mencetuskan perpecahan lebih serius dalam gabungan.
“Jika Bersatu terus gagal menyelesaikan konflik dalaman, dan kem Hamzah terus mengheret parti ke dalam perebutan kuasa yang terbuka, Pas akan terus muncul sebagai wajah dominan, manakala blok pembangkang semakin kehilangan keyakinan pengundi bandar, kelas menengah, dan golongan muda,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Marzuki Mohamad yang menjawab dakwaan digelar Hamzah sedang menuduh Muhyiddin kononnya berbohong mengenai pemansuhan jawatan PN
Menurut Marzuki, ada seorang ketua bahagian yang menyokong Hamzah menuduh Muhyiddin tidak jujur.
Sedangkan, Marzuki mendedahkan beliau ada bersama dalam pertemuan antara Muhyiddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada malam 16 Januari 2026.
Katanya, pertemuan pada malam tersebut diadakan untuk mencari jalan keluar kepada deadlock berhubung pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu. Pas mahu menjadi Pengerusi PN tetapi ditentang oleh dua parti komponen yang lain, iaitu Gerakan dan MIPP
Sebagai jalan keluar, Marzuki memaklumkan, pertemuan pada malam itu telah memutuskan untuk memperkasakan peranan Majlis Presiden PN yang diketuai oleh Muhyiddin dan menubuhkan Majlis Eksekutif PN yang diketuai oleh calon yang akan dinamakan oleh Pas.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan, perpecahan dalam Bersatu dan dominasi PAS bukan isu kebetulan namun terbukti hasil daripada usaha terancang kem Hamzah untuk menyingkirkan Muhyiddin, selain kegagalan beberapa parti komponen mengimbangi kuasa.

Menurut beliau, sebahagian besar pengundi sederhana dan masyarakat majmuk ketika ini masih ragu-ragu terhadap kemampuan Pas sebagai wajah utama pembangkang.
“Dominasi satu parti tanpa imbangan rakan gabungan yang kuat menimbulkan kebimbangan bahawa hala tuju blok pembangkang kini condong ke satu ideologi tertentu, jauh daripada pendekatan inklusif dan berprinsip yang rakyat harapkan.
“Perkembangan politik terkini menunjukkan bahawa pembangkang sedang menghadapi krisis kepimpinan yang serius, khususnya konflik dalaman Bersatu semakin terbuka. Rakyat berhak melihat pembangkang sebagai gabungan yang inklusif, stabil, dan berwibawa.
“Bukannya rakyat dihidangkan dengan medan permainan kuasa peribadi dan agenda tersembunyi. Jika keadaan ini berterusan, PN bukan sahaja menghadapi krisis dalaman, tetapi juga berisiko hilang kredibiliti di mata rakyat,” katanya.






