
KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM15 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara berbanding RM8 bilion pada 2022 dalam usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, peningkatan peruntukan STR dan SARA dari tahun ke tahun itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan bantuan secara bersasar.
“Peningkatan bantuan kewangan ini khususnya SARA yang bermula pada 2023 adalah mekanisme digunakan oleh kerajaan menyediakan bantuan secara bersasar,” katanya ketika menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pada Waktu Pertanyaan bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas mengenai jumlah rakan niaga SARA, Chin Tong berkata bilangan premis rakan niaga sehingga Isnin meningkat kepada 10,447 kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 kedai pada 2024.
Beliau berkata jumlah itu dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan berkenaan.
“Misalnya untuk Sarawak sahaja, terdapat 1,096 premis didaftarkan sebagai rakan niaga SARA.
“Kerajaan akan sentiasa meneliti syarat untuk menjadi rakan niaga SARA dari semasa ke semasa bagi memastikan kedai runcit tempatan dan peniaga kecil turut terlibat secara langsung selaras ketetapan perutusan Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri untuk menambahkan 10,000 kedai runcit kecil pada tahun ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar), Chin Tong berkata, hasrat kerajaan adalah selari dengan cadangan supaya bantuan SARA bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan B40, malah pada masa sama menyokong peniaga kecil, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, kriteria dan syarat untuk premis perniagaan menjadi rakan niaga SARA turut ditambah baik, termasuk keperluan premis mengendalikan kedai runcit serta menjual sekurang-kurangnya tujuh barangan makanan keperluan asas seperti beras, susu, tepung, minyak masak dan barangan dalam tin daripada 14 kategori yang ditetapkan sebelum ini.
“Antara penambahbaikan dilaksanakan ialah keperluan menjual barangan keperluan asas diturunkan daripada 70 peratus kepada 50 peratus iaitu tujuh daripada 14 kategori ditetapkan.
“Kriteria lain ditambah baik ialah premis mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen perniagaan sah, mempunyai nombor pengenalan cukai (TIN) dan mengguna pakai sistem point of sales (POS),” katanya.
Chin Tong menambah, kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan lanjut termasuk penyesuaian syarat mengikut lokaliti dan saiz premis, khususnya bagi kedai runcit kecil di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kita bersedia mendengar dan mempertimbangkan sebarang cadangan yang munasabah. Jika ada asas yang kukuh, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melonggarkan lagi syarat sedia ada,” katanya.




