Anwar hargai sokongan Putin, Xi terhadap usaha keamanan di Iran dan Gaza

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghargai pendirian Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping yang menyokong usaha keamanan serta mengutuk kekejaman terhadap rakyat di Gaza, Iran dan Lubnan.

Beliau berkata, Malaysia kekal konsisten dengan pendirian tegasnya terhadap serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis, selain mempertahankan dasar luar yang bebas tanpa dipengaruhi mana-mana kuasa besar.

“Sebab itulah kita mengambil pendirian yang sangat tegas terhadap serangan awal oleh rejim Zionis yang dilakukan dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).

“Kami membuat keputusan di Parlimen secara dwipartisan dan terus melaksanakan pelbagai usaha libat urus,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama rangkaian televisyen berita antarabangsa Rusia, RT.

Temu bual itu diadakan sempena lawatan rasmi beliau ke Kazan, Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun Ke-35 Hubungan ASEAN-Rusia.

Anwar berkata, beliau turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara Teluk, Pakistan, Turkiye dan Iran sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian yang adil terhadap konflik berkenaan.

“Kini apabila kita telah mencapai sesuatu yang adil, saya berharap kita akan berjaya.

“Sebab itulah saya secara terbuka memuji dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Putin dan Presiden Xi Jinping kerana mengambil pendirian demi keamanan serta mengutuk kekejaman terhadap rakyat Iran, Gaza dan kini Lubnan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan ASEAN berpegang kepada prinsip Pemusatan ASEAN yang menekankan kebebasan dalam menentukan pendirian tanpa terikat kepada mana-mana ideologi atau kuasa besar.

Pada masa sama, katanya, prinsip berkenaan tidak bermaksud ASEAN mengambil sikap berkecuali terhadap isu yang melibatkan kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia.

“Bagi Malaysia khususnya, dan juga ASEAN, kami tidak menggunakan istilah berkecuali kerana kami tidak berkecuali apabila melibatkan Gaza, kekejaman yang dilakukan atau serangan terhadap Lubnan.

“Justeru, kami menggunakan istilah pemusatan. Ia bermaksud kami tidak terikat dengan mana-mana pendirian ideologi atau kuasa besar tertentu, namun kami tetap menyuarakan pendirian dan perasaan kami secara tegas dan konsisten berhubung hak asasi manusia, penyalahgunaan kuasa dan kekejaman yang dikenakan terhadap pelbagai golongan minoriti di tempat lain,” katanya.

Menurut beliau, meskipun isu geopolitik semasa semakin rumit dan melibatkan pelbagai kuasa besar, Malaysia akan terus mengekalkan pendirian bebas berteraskan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mengkritik sikap negara Barat yang disifatkannya mengamalkan layanan berbeza terhadap tindakan Israel.

“Bagaimana anda boleh membenarkan pendirian yang diambil oleh sebuah negara seperti Israel, dan kemudian disokong oleh AS, untuk menyerang sebuah negara berdaulat yang lain?

“Implikasi dan kesannya merebak ke seluruh rantau Teluk dan kini kepada masyarakat antarabangsa. Saya tidak bercakap mengenai kesukaran ekonomi akibat perang. Saya bercakap mengenai prinsip asas.

“Adakah kita menerima perkara ini? Atau adakah kita boleh membiarkan kemunafikan seperti ini terus berterusan dalam dunia moden dan bertamadun yang kecil ini?” katanya.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa berhak untuk mengulas dan mengkritik tindak balas Iran, namun tidak seharusnya berdiam diri terhadap pencerobohan yang berlaku ke atas negara itu.

“Tetapi mengapa wujud sikap berdiam diri sepenuhnya apabila melibatkan kekejaman dan pencerobohan terhadap Iran? Jadi anda dapat melihat percanggahan ini, yang saya sifatkan sebagai kemunafikan, dan ia mesti dihentikan,” katanya.

Related Posts

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbang cadangan mengembalikan keistimewaan status bebas cukai Langkawi bagi membantu merancakkan aktiviti perniagaan di pulau peranginan itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

PUTRAJAYA – Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA yang disiasat berkait penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan didakwa di mahkamah minggu hadapan. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kerajaan pertimbang kembalikan status Langkawi pulau bebas cukai – PM Anwar

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kes seleweng KLVC: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA dituduh minggu depan

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Saravanan, keluarga diminta isytihar harta – SPRM

Saravanan, keluarga diminta isytihar harta – SPRM

10 Exco Negeri Sembilan hilang dari portal rasmi kerajaan negeri

10 Exco Negeri Sembilan hilang dari portal rasmi kerajaan negeri

Siasatan baja lewat edar di Kedah selesai, 2 dijangka didakwa – SPRM

Siasatan baja lewat edar di Kedah selesai, 2 dijangka didakwa – SPRM