Malaysia yakin perjanjian damai AS-Iran mampu redakan konflik Asia Barat

KAZAN – Malaysia menyambut positif memorandum persefahaman (MoU) perjanjian damai yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dengan harapan ia dapat membuka lembaran baharu ke arah keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu memberi petanda baik terhadap usaha menamatkan ketegangan yang berlarutan di rantau berkenaan, walaupun persetujuan muktamad masih perlu dicapai dalam tempoh 60 hari.

Beliau berkata, keyakinan itu didorong oleh maklumat yang diperoleh daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang berperanan sebagai pengantara utama dalam proses rundingan antara kedua-dua negara.

“(Tempoh) 60 hari itu tidak lama, jadi sama-sama kita doakan. Berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Pakistan kepada saya, beliau telah membincangkan perkara ini secara terbuka serta mendalam, malah terbabit dalam setiap peringkat rundingan tersebut. Segala-galanya kelihatan lebih positif.

“Dalam perbincangan saya bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, beliau turut menunjukkan sikap dan pandangan yang sama.

“Walaupun kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan memandangkan situasi ini turut membabitkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, secara umumnya ada keyakinan bahawa perjanjian damai ini akan berjaya dimeterai kali ini,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia Ke-35 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Dalam perkembangan sama, Anwar menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak mengabaikan krisis kemanusiaan yang terus melanda Gaza dan Lubnan meskipun dunia menyambut baik perkembangan rundingan damai berkenaan.

“Kita perlu memperingatkan dunia supaya jangan sesekali melupakan kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh rakyat di Gaza dan Lubnan akibat kebiadaban rejim Zionis Israel yang berterusan,” tegas beliau.

Terdahulu, AS dan Iran dilaporkan mencapai persetujuan untuk menghentikan semua operasi ketenteraan secara serta-merta dan berkekalan di semua kawasan konflik, termasuk di Lubnan.

Perkembangan itu dilihat sebagai isyarat positif ke arah penamatan konflik yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat.

MoU berkenaan menggariskan 14 perkara utama sebagai asas kepada penyelesaian konflik, termasuk komitmen kedua-dua pihak untuk memuktamadkan perjanjian penuh dalam tempoh 60 hari, dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh itu sekiranya dipersetujui bersama.

Related Posts

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR – Seramai 1,043 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dilaksanakan serentak di seluruh negara pada 10 dan 11 Ogos lalu. Operasi berkenaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen

PUTRAJAYA – Harga petrol RON97 turun 20 sen kepada RM4.15 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.62 seliter berkuat kuasa esok. Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen

RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen

Teguran buahkan hasil, KSN puji kualiti kemudahan I-LEAD Park INSARA

Teguran buahkan hasil, KSN puji kualiti kemudahan I-LEAD Park INSARA

RUU Pewarisan Orang Islam 2026 modenkan perundangan syariah Sabah

  • By Ithma
  • August 12, 2026
RUU Pewarisan Orang Islam 2026 modenkan perundangan syariah Sabah

RCI Tabung Haji: Guan Eng terima pujian kerana selamatkan Tabung Haji

RCI Tabung Haji: Guan Eng terima pujian kerana selamatkan Tabung Haji