
Oleh: Wmae
KOTA KINABALU – Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra dilantik sebagai Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) baharu menggantikan Datuk Jamawi Jaafar.
Dalam ucapannya, Jamawi mengucapkan tahniah kepada Pengiran Saifuddin atas pelantikan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja SUDC atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh lima tahun beliau menerajui syarikat berkenaan.
“Apa yang lebih penting ialah menyampaikan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.
“Saya yakin SUDC akan terus melangkah maju dan kekal komited melaksanakan peranannya di bawah kepimpinan baharu,”katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan tugas, di sini pada Khamis. .
Jamawi yang memegang jawatan Pengerusi SUDC sejak tahun 2020 kini merupakan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Sementara itu, Pengiran Saifuddin, 67, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SUDC, menzahirkan penghargaan kepada Jamawi atas sumbangan dan dedikasi beliau kepada syarikat tersebut.




