
SHAH ALAM — Kementerian Pendidikan memulakan kajian keperluan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata kajian itu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk mendapatkan pandangan ibu bapa, guru dan pakar pendidikan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri serta masyarakat.
“Kementerian mempunyai pandangan awal, namun perlu kajian menyeluruh untuk mendengar permintaan ibu bapa. Pentaksiran peperiksaan telah lama dilaksana dan memberi kesan tertentu, sebab itu kita menumpukan pendekatan lebih holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina di sini hari ini.
Fadhlina memaklumkan hampir 800,000 murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu telah mendaftar bagi sesi persekolahan tahun ini.
Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021 selepas dibatalkan pada u2020 akibat pandemik Covid-19, manakala PT3 dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 dan diganti dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Sumber : Media Selangor






