
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini berkuat kuasa serta-merta.
Perkembangan itu menyusul selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin hari ini, mengeluarkan perintah pelepasan baharu bagi menggantikan perintah terdahulu yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
“Yang pertama sekali, perintah pelepasan atas pembayaran denda (order of discharge on payment of fine) bertarikh 6 November 2026, dengan ini dibatalkan dan digantikan sepenuhnya dengan perintah ini.
“Yang kedua, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” katanya.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan permohonan berkenaan dan menjelaskan ia dibuat berdasarkan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Menurutnya, permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu supaya pelaksanaannya selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.

Dalam permohonan tersebut, AGC memohon mahkamah meneliti semula perintah berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya menepati pengampunan yang diberikan kepada Najib.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
AGC sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Mohd Dusuki turut menyentuh mengenai kecacatan dalam perintah pelepasan terdahulu dan menegaskan penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya berkaitan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.
Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.
