
PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menafikan pernah meluluskan pendaftaran mana-mana pertubuhan Rohingya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
RoS menerusi kenyataan menjelaskan, bahawa setiap permohonan pendaftaran pertubuhan perlu melalui proses penelitian dan penilaian oleh Pendaftar Pertubuhan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Menurutnya, pematuhan terhadap syarat asas permohonan tidak bermakna sesebuah pertubuhan akan mendapat kelulusan pendaftaran secara automatik.
“Sebaliknya, setiap permohonan tertakluk kepada proses penelitian dan pertimbangan Pendaftar Pertubuhan sebelum keputusan dibuat,” menurut kenyataan itu.
RoS menjelaskan, antara syarat asas pendaftaran termasuk mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli, perlembagaan pertubuhan yang lengkap, pemegang jawatan yang sah serta mengemukakan permohonan lengkap menerusi sistem eROSES.
Proses pendaftaran bermula dengan pengemukaan permohonan melalui sistem berkenaan, diikuti semakan dokumen dan maklumat sebelum dinilai berdasarkan peruntukan Akta 832.
“Keputusan kelulusan pendaftaran kemudiannya dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, RoS menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Permohonan pendaftaran pertubuhan boleh dikemukakan menerusi sistem eROSES di www.eroses.gov.my.
Isu berkenaan kembali dibangkitkan baru-baru ini apabila seorang pengguna aplikasi Threads menerusi akaun x_.tw9 mempersoalkan status Rohingya Society Malaysia (RSM) yang didakwa tidak sah.
Pengguna itu turut mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan polis terhadap pertubuhan berkenaan pada 2020.



