
Oleh: MK MUBIN
SHAH ALAM – Invest Selangor terus memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan sebagai teras pertumbuhan ekonomi negeri, seiring kejayaan Selangor International Business Summit 2025 (SIBS 2025) yang merekodkan potensi pelaburan RM8.17 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, pelaburan dan pembangunan industri hanya akan memberi kesan jangka panjang sekiranya disokong tenaga kerja berkemahiran dan bersedia menghadapi perubahan teknologi.
Menurut laporan The Edge Malaysia, usaha pembangunan bakat diperkukuh menerusi penganjuran Selangor Aerospace Summit (SAS) Career Fair dan Selangor Smart City & Digital Economy (SDEC) Malaysia Semiconductor Recruitment Day, yang membuka ribuan peluang pekerjaan dalam sektor aeroangkasa dan semikonduktor.
Beliau berkata, semua platform kerjaya akan disatukan di bawah SCOUT Talent Exchange pada SIBS 2026, dengan sasaran penyertaan sehingga 10,000 pencari kerja, bagi memastikan Selangor terus kekal sebagai hab pelaburan dan pembangunan bakat negara.





