
KOTA KINABALU – Majlis Belia Sabah (MBS) meletakkan sasaran 40 peratus penyertaan anak muda ke dalam kelab dan persatuan belia di negeri itu, pada tahun depan.
Menurut Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, angka tersebut sebagai penanda aras dalam usaha merancakkan pembangunan belia di negeri itu.
“Penyertaan belia di dalam kelab, persatuan dan kesukarelawanan berlegar sekitar 15 peratus daripada populasi keseluruhan belia Sabah, iaitu seramai 2.2 juta orang.
“MBS meletakkan sasaran penyertaan sebanyak 40 peratus sebagai penanda aras untuk dicapai bersama badan-badan gabungan belia di Sabah.
“Misi yang akan digarap secara kolektif ini bagi merancakkan pembangunan belia di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, perancangan untuk merancakkan pembangunan belia di negeri itu memerlukan bantuan kewangan tambahan daripada kerajaan untuk membiayai program-program pembangunan belia di peringkat akar umbi.
“Bagi mencapai sasaran 40 peratus, MBS merancang untuk memperbanyakkan program-program berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi pada tahun 2026.
“Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan kuat kerajaan terutamanya dalam aspek kewangan.
“Adalah harapan kami agar kerajaan melihat misi ini sebagai salah satu bentuk pelaburan dalam konteks pembangunan modal insan yang akan menyuburkan potensi belia di negeri ini,” ujarnya.
Sebagai rekod, sebanyak 19 badan gabungan belia iaitu bernaung di bawah MBS iaitu Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah; Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah; Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Sabah.
Selain itu, The Girls Brigade (GB) Sabah; The Boys Brigade (BB) Sabah; St. John Ambulance Malaysia (SJAM) Sabah; Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah; Junior Chamber International (JCI) Sabah dan 9 lagi gabungan persatuan belia bahagian.







