PEKAN – SEPULUH pasangan pengantin diraikan dalam Program Anggun Suri Peringkat Daerah Pekan yang dirasmikan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib.
Beliau wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk majlis itu.
Hadir sama Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, lapor Pahang Media.
Sementara itu, Mohamad Nizar berkata, penganjuran Anggun Suri membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan.
Selain itu, katanya, program berkenaan juga peluang kepada pasangan merasai pengalaman perkahwinan secara kolektif dalam suasana penuh tertib dan bermakna.
“Komitmen ini membuktikan bahawa program Anggun Suri bukan sahaja bersifat bermusim, sebaliknya inisiatif kebajikan sosial berterusan yang dirancang untuk memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya golongan B40.
“Pendekatan ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina keluarga harmoni sebagai asas kepada masyarakat sejahtera seterusnya memperkukuh kemakmuran negeri di bawah Aspirasi Pahang 1st,” katanya.







