
KUCHING – Tanpa mengira syarikat, organisasi mahupun individu perlu menjaga hak pekerja mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata majikan perlu sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTM) negeri untuk mengetahui bentuk pelanggaran hak pekerja.
“Pihak majikan perlu tahu hak pekerja supaya tidak berlaku sama ada disedari ataupun tidak disedari,” ujar beliau.
Selain itu, jelas beliau, kadang-kadang majikan tidak sedar mereka melanggar hak mereka seperti menahan gaji mereka, tahan pasport dan hak kebebasan mereka.
“Tanpa kita sedari, sebenarnya ini merupakan hak asasi mereka yang perlu kita lindungi tanpa mengira majikan itu individu atau syarikat,” kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Sementara itu, beliau menjelaskan undang-undang bukan hanya melindungi warganegara tetapi individu bergelar manusia.
“Selagi individu itu bergelar manusia, baik warganegara mahupun bukan negara wajib dilindungi hak mereka,” kata beliau lagi.
Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 dalam laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat berkenaan buruh paksa.
“Malaysia sentiasa menunjukkan komitmen dalam pengambilan pekerja untuk mencegah pemerdagangan manusia dan pengambilan buruh paksa,” kata beliau lagi.






