
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI akan terus mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan rasuah dan penyeludupan dadah tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu yang terbabit.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedar pendirian tegas kerajaan dalam memerangi rasuah boleh menjadikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri lebih mencabar, namun perkara itu tidak akan melemahkan tekadnya.
“Jadi kita tentu ambil tindakan yang keras. Bila kita ambil tindakan keras menentang rasuah, jangan anggap ini mudah.
“Kedudukan kerajaan, apa lagi Perdana Menteri akan lebih sukar bila keras menentang rasuah daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) kepada FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), Tabung Haji dan penyeludupan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI yang menampilkan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi sebagai tetamu di Kompleks Seri Perdana, di sini malam tadi.

Anwar menegaskan, pasukan pertahanan negara perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi selain memastikan integriti setiap anggota dipelihara bagi menghadapi sebarang ancaman.
“Bahagian ketenteraan kita itu, pertahanan mesti kental, integriti harus ada.
“Tak sekonyong-konyong timbul segala soal rasuah, penyeludupan dadah, penggunaan jet dan pesawat tentera untuk menyeludup dadah,” katanya.
Pada 17 November lalu, seramai 11 individu terdiri daripada lima pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.
Operasi berkenaan turut menyaksikan polis merampas 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kg bahan kimia.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu leka dengan keamanan yang dinikmati negara sehingga mengabaikan perkembangan geopolitik serta ancaman keselamatan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, sebahagian masyarakat masih berada dalam zon selesa dan menganggap Malaysia tidak berdepan sebarang ancaman dari luar.
“Tentunya mengundang masalah apabila orang tidak langsung ada kefahaman tentang geopolitik, tentang ketegangan dua kuasa besar yang mahu menjadikan rantau ini dan Malaysia sebagai pangkalan mereka.
“Kita belajar daripada pengalaman negara Teluk. Tidak siapa jangka dua tahun lalu bahawa negara Teluk akan menjadi tempat pertarungan hebat.
“Jadi saya bukanlah mengatakan untuk menakutkan rakyat tetapi kita ini mesti siap siaga,” katanya.
Beliau menegaskan, kesedaran terhadap perkembangan geopolitik dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman luar perlu dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.


