KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perjuangan menentang dadah perlu dijadikan jihad besar demi menyelamatkan maruah umat dan masa depan negeri.
Baginda bertitah, dadah bukan lagi masalah individu, tetapi musibah yang meruntuhkan keluarga, merosakkan masyarakat dan menghalang kemajuan negeri serta negara.
“Tiada bencana lebih dahsyat selain melihat anak bangsa diperhambakan najis dadah.
“Perjuangan ini mesti dianggap jihad besar demi mempertahankan maruah umat,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Perkawalan 2025 sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Pahang di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak, dekat Maran, hari ini.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan apabila rekod sehingga Julai lalu menunjukkan seramai 1,317 penagih atau 31.32 peratus daripada keseluruhan penagih di Pahang berasal dari tanah rancangan FELDA.
“FELDA asalnya lambang kejayaan negara, jangan biarkan ia jadi lubuk dadah.
“Jadi, pemimpin FELDA mesti turun padang, jangan hanya sibuk mengejar keuntungan dan politik semata-mata,” titah baginda lagi, lapor Berita Harian.
Baginda turut mengingatkan ancaman sempadan tidak boleh dipandang ringan kerana Pantai Timur menjadi laluan sindiket antarabangsa menyeludup dadah menggunakan bot nelayan, kapal dagang dan perahu kecil.
Titah baginda, kerjasama antara agensi maritim, polis dan tentera laut perlu diperkukuhkan supaya lautan serta pesisir pantai tidak menjadi pintu masuk racun negara.







