
KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah terus menunjukkan penurunan dengan 2,256 orang daripada 710 keluarga masih ditempatkan di 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah setakat pukul 4.00 petang, Jumaat.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah melaporkan, angka itu menurun berbanding 2,602 mangsa pada pagi tadi.
Penurunan ketara dicatatkan di daerah Putatan apabila semua mangsa dibenarkan pulang, sekali gus menyaksikan penutupan PPS di kawasan itu.
“Daerah Beaufort, Penampang, Papar dan Sipitang turut merekodkan pengurangan bilangan penduduk terjejas, manakala Membakut kekal dengan 970 mangsa daripada 311 keluarga di sembilan kampung,” menurut laporan berkenaan.
Secara keseluruhan, enam daerah terlibat sebelum ini kini berkurang kepada lima daerah aktif dengan 120 kampung masih terjejas.
Sementara itu, jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh kekal 13 orang setakat ini.
JPBN Sabah menjelaskan pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca serta memastikan kebajikan mangsa di semua PPS terjamin sehingga mereka dapat pulang dengan selamat.




