PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan wakil diplomatik Malaysia di luar negara untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara tuan rumah.
Perdana Menteri menekankan tumpuan utama harus diberikan kepada usaha memacu aktiviti perdagangan dua hala serta menarik pelaburan asing berkualiti tinggi demi kemakmuran ekonomi negara.
Anwar menitipkan amanat itu ketika menerima kunjungan hormat tujuh Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu di Putrajaya.
Kunjungan itu susulan penerimaan watikah pelantikan mereka daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 4 September lalu.
“Moga mereka menggalas tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan cemerlang,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Mereka ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah; Duta Besar ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman; Pesuruhjaya Tinggi ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof; Duta Besar ke Brazil, Datuk Mohammad Ali Selamat; Duta Besar ke Jerman, Mohamad Razdan Jamil; Duta Besar ke Sepanyol, Haznah Md Hashim dan Duta Besar ke Poland, Datuk Azri Mat Yacob.







